Zach Elder dan kawan-kawannya berhenti di tepi pantai selepas 25 hari berakit melalui Grand Canyon. Seorang lelaki yang datang untuk mendapatkan rakit mereka memberitahu mereka tentang virus COVID-19. Mereka ingat lelaki itu sedang bergurau. Tetapi apabila mereka meninggalkan ngarai, telefon mereka dipenuhi oleh mesej-mesej penting daripada ibu bapa mereka. Zach dan kawan-kawannya tergamam. Mereka berharap dapat kembali ke sungai dan melarikan diri daripada apa yang mereka ketahui sekarang.

Di dunia yang telah jatuh ini, pengetahuan sering membawa penderitaan. Guru yang bijak dalam kitab Pengkhutbah mempunyai pemerhatian ini, “Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan” (1:18). Siapakah yang tidak mencemburui kejahilan bahagia seorang kanak-kanak? Ini kerana dia masih belum mengerti tentang perkauman, keganasan dan penyakit kanser. Bukankah kita lebih gembira sebelum kita menjadi dewasa, kemudian mengenali kelemahan kita? Ataupun sebelum kita mengetahui rahsia keluarga kita—mengapakah bapa saudara kita seorang pemabuk, atau apakah yang menyebabkan perceraian ibu bapa kita?

Penderitaan disebabkan pengetahuan tidak dapat dilupuskan begitu sahaja. Sebaik sahaja kita mengetahuinya, tiada gunanya kita berpura-pura tidak mengetahuinya. Namun terdapat pengetahuan yang lebih tinggi, memberi kuasa kepada kita untuk bertahan, malah mengalami pertumbuhan. Yesus ialah Firman Tuhan, cahaya yang bersinar dalam kegelapan (Yohanes 1:1–5). Dia “menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita” (1 Korintus 1:30). Penderitaan anda menjadi sebab anda datang kepada Yesus. Dia mengenali anda dan mengasihi anda.