Apabila menulis obituari untuk mendiang ibu saya, saya terasa bahawa perkataan mati seakan-akan merupakan penghujung bagi harapan bahawa kami akan bertemu semula di syurga. Oleh itu saya pun tulis, “Ibuku telah disambut ke dalam pangkuan Yesus.” Akan tetapi, kadangkala saya masih berduka apabila melihat ibu saya tidak lagi kelihatan dalam foto-foto keluarga terkini. Walaupun begitu, baru-baru ini, saya telah menemui seorang pelukis yang melukis potret keluarga yang termasuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia dengan menggunakan gambar mendiang sebagai rujukan. Dengan menggunakan berus lukisnya, pelukis tersebut telah menggambarkan janji Tuhan akan pertemuan semula di syurga. Saya menitiskan air mata kesyukuran apabila terfikir akan melihat ibu saya tersenyum di sisi saya sekali lagi.

Rasul Paulus menegaskan bahawa orang yang percaya kepada Yesus tidak perlu bersedih hati “seperti orang yang tidak mempunyai harapan” (1 Tesalonika 4:13). “Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus”(ayat 14). Paulus percaya akan kedatangan kali kedua Yesus dan mengisytiharkan bahawa semua orang yang beriman akan berjumpa semula dengan Yesus. (ayat 17)

Janji Tuhan akan ada pertemuan semula di syurga memberi penghiburan kepada kita apabila kita bersedih atas kehilangan orang tersayang yang telah percaya kepada Yesus. Masa hadapan kita yang dijanjikan oleh Raja kita yang bangkit daripada kematian juga memberi kita harapan yang berkekalan apabila kita berhadapan dengan hidup kekal, sehingga hari Yesus datang atau memanggil kita pulang.