Sungguh menakjubkan, Handel hanya mengambil masa selama 24 hari untuk menulis muzik orkestra bagi oratorio yang bertajuk Messiah (Mesias)—barangkali merupakan gubahan muzikal yang terkenal di dunia pada masa kini, dipersembahkan sebanyak beribu-ribu kali setiap tahun di seluruh dunia. Gubahan muzik yang mengagumkan itu mencapai klimaks hampir 2 jam selepas permulaannya dengan bahagian yang terkenal dalam oratorio tersebut, iaitu “Korus Haleluya.”

Apabila trompet dan timpani mula bermain untuk mengumumkan permulaan korus tersebut, mula kedengaran beberapa lapisan suara daripada kumpulan koir yang menyanyikan perkataan daripada Wahyu 11:15: “Dia akan memerintah selama-lamanya!” Hal ini merupakan deklarasi yang penuh kemenangan bahawa kita mempunyai harapan untuk bersama-sama Yesus selamanya di syurga.

Kebanyakan perkataan yang terdapat dalam Messiah berasal daripada kitab Wahyu. Rasul Yohanes mencatatkan penglihatan yang diperoleh menjelang penghujung nyawanya. Penglihatan tersebut menggambarkan peristiwa-peristiwa yang mencapai kemuncak dengan kedatangan kembali Kristus. Dalam kitab Wahyu, rasul Yohanes berulang kali menegaskan Yesus yang bangkit daripada kematian akan kembali semula ke bumi—waktu yang bagus untuk bergembira dengan suara koir (19:1-8). Dunia ini akan bergembira kerana Yesus telah berjaya menewaskan kuasa kegelapan dan kematian, serta membangunkan sebuah kerajaan yang aman damai.

Suatu hari kelak, semua umat Tuhan akan bernyanyi bersama dalam paduan suara yang mengagumkan, dan mengisytiharkan keagungan Yesus dan berkat Pemerintahan-Nya yang abadi. (7:9). Sehinggalah tiba waktu itu, kita perlu hidup, bekerja, berdoa dan menunggu dengan harapan.