Bunga-bunga potong sudah tiba dari Ecuador. Pada masa bunga-bunga itu tiba di rumah saya, bunga-bunga tersebut telah pun layu disebabkan perjalanan lama. Saya menerima arahan untuk menyiram bunga-bunga itu dengan air sejuk yang menyegarkan. Bagaimanapun , sebelum berbuat demikian, tangkai bunga-bunga tersebut perlu dipangkas untuk memudahkan penyerapan air. Namun begitu, adakah bunga-bunga tersebut akan terus hidup?

Pada pagi yang berikutnya, saya telah menemui jawapannya. Jambak bunga dari Ecuador tersebut telah berkembang mekar, menampilkan bunga-bunga yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Air yang segar telah mendatangkan perbezaan yang ketara—satu peringatan akan apa yang disebut oleh Yesus tentang air dan ertinya kepada semua orang percaya.

Apabila Yesus meminta minuman air daripada seorang wanita Samaria—dengan membawa maksud bahawa Yesus akan minum air yang telah diambil oleh wanita itu dari telaga—Yesus telah mengubah kehidupan wanita tersebut. Wanita tersebut terkejut dengan permintaan Yesus. Ini kerana orang Yahudi selalunya memandang rendah akan orang Samaria. Namun Yesus berkata, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu” (Yohanes 4:10). Kemudiannya di dalam Rumah Tuhan, Yesus berseru, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum” (7:37). Antara mereka yang percaya kepada-Nya, “dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup (Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya) (ayat 38-39).

Roh Tuhan yang menyegarkan jiwa dapat memulihkan kita apabila kita lelah dalam kehidupan. Tuhanlah air kehidupan yang mendiami jiwa kita dengan kuasa pembaharuan yang suci. Marilah kita menikmati air kehidupan pada hari ini.