Matahari musim panas sedang terbit, jiran saya tersenyum ketika melihat saya di halaman rumah, sambil berbisik memanggil saya untuk datang melihat sesuatu. “Apa?” Saya berbisik kembali, tertarik. Dia menunjukkan peranggu loceng di anjung hadapan rumahnya, tempat sebiji cawan jerami kecil disertakan straw diletakkan di atas anak tangga logam. “Sarang burung madu,” bisiknya. “Kamu nampak anak-anaknya?” Kedua-dua paruh kecil itu hampir tidak kelihatan semasa paruh tersebut menghala ke atas. “Anak-anak sedang menunggu induk.” Kami berdiri di situ, berasa kagum. Saya mengangkat telefon bimbit saya untuk mengambil gambar. “Jangan terlalu dekat,” kata jiran saya. “Jangan takutkan induk burung.” Demikianlah kami memelihara—dari jauh—sekeluarga burung madu.

Namun seminggu kemudian, induk burung dan anak-anaknya telah pergi—senyap seperti ketika burung-burung itu tiba. Tetapi siapakah yang akan menjaga burung-burung itu?

Alkitab memberikan jawapan yang biasa tetapi mengagumkan, bahkan sangat biasa sehingga kita mungkin boleh melupakan semua janji yang dinyatakan: “Jangan khuatir akan hidup kamu,” kata Yesus (Matius 6:25). Perintah yang ringkas tetapi indah. “Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya!” (ayat 26).

Sebagaimana Tuhan memelihara burung-burung kecil, demikian juga Dia memelihara kita—menjaga fikiran, tubuh, jiwa dan roh kita. Itulah janji yang luar biasa. Semoga kita memandang kepada Dia setiap hari—tanpa kekhuatiran—dan bangkit untuk hidup.