Seorang pengkhutbah Inggeris yang bernama F. B. Meyer (1847 –1929), menggunakan sebiji telur sebagai contoh untuk menggambarkan apa yang disebutnya “falsafah yang mendalam tentang tinggal dalam Kristus.” Dia mengatakan bahawa kuning telur yang disenyawakan adalah “kuman hidup” kecil yang membesar setiap hari sehingga anak ayam terbentuk di dalam cangkerang. Demikian juga Yesus akan datang dan tinggal dengan kita melalui Roh Kudus-Nya yang mengubah hidup kita. Meyer berkata, “Mulai sekarang Kristus akan terus bertumbuh, bertambah dan menyerap segala sesuatu ke dalam diri-Nya, serta membentuk diri-Nya dalam kamu.”

Dia meminta maaf kerana tidak dapat mengatakan kebenaran tentang Yesus dengan sempurna. Dia tahu bahawa kata-katanya tidak dapat menyampaikan dengan sepenuhnya kebenaran indah tentang Kristus yang tinggal dalam orang percaya melalui Roh Kudus. Namun dia menggesa para pendengarnya berkongsi dengan orang lain, walaupun pengertian mereka tidak sempurna tentang hal yang dimaksudkan oleh Yesus ketika Dia berkata, “Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu” (Yohanes 14:20). Yesus mengucapkan kata-kata ini pada perjamuan malam terakhir-Nya bersama dengan sahabat-sahabat-Nya. Dia mahu mereka mengetahui bahawa Dia dan Bapa-Nya akan datang dan tinggal dengan mereka yang taat kepada-Nya (ayat 23). Hal ini boleh terjadi kerana Roh Yesus yang tinggal dalam orang yang percaya kepada-Nya boleh mengubah kehidupan mereka secara menyeluruh.

Tidak kira bagaimana anda membayangkannya, kita mempunyai Kristus yang hidup dalam diri kita, yang membimbing dan menolong kita bertumbuh untuk menjadi lebih seperti Dia.