Semasa memandu ke lokasi yang kami belum pernah pergi, tiba-tiba suami saya memperhatikan bahawa tunjuk arah GPS seolah-olah tidak berfungsi. Selepas memasuki lebuh raya empat lorong yang kami biasa tahu, kami dinasihatkan untuk keluar dari situ dan mengikut lorong di bahagian hadapan yang selari dengan lebuh raya itu. “Saya akan percaya arahan GPS,” kata Dan, walaupun tiada kesesakan pada jalan asal. Namun selepas kira-kira 16 kilometer, trafik di lebuh raya di bahagian lorong sebelah menjadi perlahan dan hampir tidak bergerak. Apa punca masalahnya? Kerja-kerja membina jalan yang besar sedang dilakukan. Lorong baru yang kami gunakan pula? Tidak banyak kereta di jalan raya itu, malah laluan ke destinasi kami menjadi lancar. “Saya tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan,“ kata Dan, “tetapi GPS boleh.” Kami sama-sama bersetuju, “demikian juga dengan Tuhan.”

Tuhan mengetahui apa yang bakal berlaku, dalam mimpi Dia memberikan perubahan arah yang sama kepada ahli-ahli kaji bintang yang datang dari timur untuk menyembah Yesus, “anak yang baru lahir itu … raja orang Yahudi” (Matius 2:2). Oleh sebab Raja Herodes berasa terganggu dengan berita tentang seorang raja “saingannya”, maka dia berbohong kepada ahli-ahli kaji bintang ketika menghantar mereka ke Betlehem, katanya, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia” (ayat 8). Kemudian mereka diberi amaran dalam mimpi “jangan kembali kepada Herodes,” kerana itu, “mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain” (ayat 12).

Tuhan juga akan membimbing langkah kita. Semasa kita melalui lebuh raya kehidupan, kita boleh mempercayai-Nya sebab Dia dapat melihat apa yang di hadapan, dan tetap yakin bahawa “Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepada [kita]” apabila kita berserah kepada arahan-Nya (Amsal 3:6).