Pada bulan Mac 2020, semasa berjalan dengan anjingnya di Taman Pusat Bandaraya New York, Whitney, seorang pakar kewangan yang bersara telah melihat beberapa buah trak, timbunan kain tebal terpal dan khemah berwarna putih, masing-masing mempunyai tanda salib dan nama badan amal yang tidak pernah didengarnya sebelum ini. Ketika dia mengetahui bahawa kumpulan itu sedang membina hospital lapangan untuk penduduk tempatan di New York yang dijangkiti COVID-19 , dia bertanya sama ada dia boleh membantu. Selama berminggu-minggu, walaupun berbeza agama dan pandangan politik, dia dan keluarganya berusaha untuk membantu semampu yang mungkin. Whitney berkata, “Setiap orang yang saya temui bersikap sangat baik.” Dia memuji bahawa tiada sesiapa yang membayar mereka kerana mereka faham dia sedang “membantu bandarnya pada waktu yang amat terdesak dan memerlukan.”

Keperluan yang luar biasa akibat pandemik virus korona telah membawa rakan kongsi yang tidak terduga untuk melayani bersama, dan para pengikut Yesus telah diberi peluang baharu untuk berkongsi cahaya Kristus dengan orang lain. Dalam Khutbah-Nya di atas Bukit, Yesus mengajar para pengikut-Nya, “hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik” (Matius 5:16). Kita menyinarkan cahaya Kristus dengan mengizinkan Roh Kudus membimbing kita dalam kasih, kebaikan hati, serta perkataan dan perbuatan yang baik (lihat Galatia 5:22-23). Apabila kita mengizinkan cahaya yang kita terima daripada Yesus bersinar dengan terang dalam kehidupan seharian kita, kita juga “memuliakan Bapa [kita] yang di sorga” (Matius 5:16, TB).

Semoga kita bersinar bagi Kristus pada hari ini dan setiap hari, kerana Dia menolong kita menjadi garam dan cahaya di dunia yang sangat memerlukan-Nya.