Pada tahun 1979, ahli arkeologi Gabriel Barkay menemui dua skrol perak yang kecil. Usaha untuk membuka gulungan logam itu dengan teliti mengambil masa bertahun-tahun lamanya, dan setiap gulungan mengandungi ukiran ungkapan berkat bahasa Ibrani daripada kitab Bilangan 6:24-26, “Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu. Semoga TUHAN baik hati dan murah hati terhadap kamu. Semoga TUHAN berkenan kepada kamu dan memberi kamu kesejahteraan.” Para cendekiawan menganggar skrol itu berasal dari abad ke-7 sebelum Masihi. Penemuan ini merupakan serpihan Alkitab yang tertua di dunia.

Sama menariknya ialah tempat yang skrol ini ditemui. Barkay telah menggali di dalam sebuah gua di Lembah Hinom, tempat yang nabi Yeremia memberitahu orang Yehuda bahawa Tuhan akan menghapuskan mereka kerana mengorbankan anak-anak mereka (Yeremia 19:4-6). Lembah ini adalah tapak kejahatan sehingga Yesus menggunakan perkataan “Gehenna” (Istilah Ibrani untuk “Lembah Hinom” dalam bahasa Yunani) sebagai gambaran neraka (Matius 23:33).

Pada masa Yeremia mengumumkan penghakiman Tuhan ke atas bangsanya, seseorang yang berada di tempat itu telah mengukir berkat Tuhan atas masa depan mereka pada gulungan perak. Mereka tidak akan mengalami berkat itu tetapi suatu hari nanti—selepas pencerobohan Babilonia—Tuhan akan memalingkan wajah-Nya ke arah umat-Nya dan memberi mereka kesejahteraan.

Pengajaran untuk kita adalah jelas. Walaupun kita akan menanggung akibat perbuatan dosa kita, kita boleh berpegang pada janji-janji Tuhan. Hati Tuhan selalu rindu akan umat-Nya.