Dalam hari-hari pengasingan kendiri dan sekatan pergerakan yang disebabkan oleh pandemik virus Corona, kata-kata Martin Luther King Jr. dalam “Surat dari Penjara Birmingham” kedengaran benar. Ketika bercakap mengenai ketidakadilan, dia berkata bahawa dia tidak boleh duduk diam di satu bandar dan tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku di bandar lain. “Kita terperangkap dalam rangkaian kebersamaan yang tidak dapat dielakkan,” katanya, “disatukan dalam satu takdir. Apa yang mempengaruhi seseorang secara langsung, memberi kesan kepada kita semua secara tidak langsung.”

Begitu juga, pandemik COVID-19 menunjukkan keterkaitan kita ketika seluruh bandar dan negara di seluruh dunia ditutup untuk menghentikan penyebaran virus. Perkara yang dapat menjejaskan satu bandar seterusnya boleh menjejaskan bandar yang lain.

Berabad-abad yang lalu, Tuhan memerintahkan umat-Nya untuk menunjukkan keprihatinan kepada orang lain. Melalui Musa, Dia memerintah orang Israel membimbing dan membantu mereka untuk hidup bersama-sama. Dia memberitahu mereka, “Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, namun begitu jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa jiranmu terancam” (Imamat 19:16, AVB); dan jangan balas dendam terhadap sesiapa pun, atau terus-menerus membenci orang. “Kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri” (Ayat 18). Tuhan tahu bahawa suatu komuniti itu akan mulai hancur sekiranya mereka tidak mengambil berat akan yang lain dan menghargai hidup yang lain seperti mereka menghargai kehidupan mereka masing-masing.

Kita juga boleh memperoleh hikmat daripada perintah Tuhan ini. Sambil kita menjalani aktiviti harian kita, kita boleh merenungkan bagaimana kita boleh saling berkait dengan yang lain dan meminta Tuhan menunjukkan cara untuk mengasihi dan melayani mereka dengan baik.