Semasa berumur sepuluh tahun, saya membawa pulang pita kaset muzik band kontemporari Kristian daripada seorang rakan dalam kumpulan belia. Ayah saya yang telah dibesarkan dalam keluarga yang mengamalkan ajaran Hindu tetapi telah menerima keselamatan dalam Yesus, tidak menyetujui hal ini. Dia hanya mahu muzik penyembahan dimainkan di rumah kami. Saya menjelaskan bahawa ini merupakan band Kristian, tetapi ini tidak mengubah fikirannya. Tidak lama setelah itu, dia mencadangkan saya mendengar lagu-lagu dalam pita kaset itu selama seminggu dan kemudian memutuskan sama ada muzik itu membawa saya lebih dekat kepada Tuhan ataupun menolak saya lebih jauh daripada-Nya. Nasihat ayah saya mempunyai hikmat yang berguna.

Terdapat perkara dalam kehidupan ini yang jelas betul atau salah, tetapi sering kali kita bergelut dengan perkara-perkara yang boleh dipertikaikan (Roma 14:1-19). Ketika kita memutuskan apa yang perlu dilakukan, kita boleh mencari hikmat yang terdapat dalam Alkitab. Paulus mendorong jemaah Tuhan di Efesus untuk “perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak” (Efesus 5:15). Seperti Ibu bapa yang baik, Paulus tahu dia tidak mungkin berada di sana atau memberi arahan untuk setiap situasi. Jika mereka “berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat,” mereka perlu tahu membezakan apa yang baik dan jahat, dan “berusahalah untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan bagi kamu” (ayat 16-17). Kehidupan yang penuh hikmat adalah suatu jemputan untuk mengejar kebijaksanaan dan keputusan yang baik semasa Tuhan membimbing kita walaupun ketika kita bergelut dengan perkara yang boleh dipertikaikan.