Dalam pandangan saya, pokok Krismas itu kelihatan dijilat api! Pokok tersebut bukannya terbakar akibat daripada rentetan lampu hiasan, tetapi daripada api yang sebenar. Keluarga kami telah dijemput oleh seorang kawan untuk menghadiri acara tradisi altdeutsche yang diamalkan mereka, ataupun dikenali sebagai “adat lama orang Jerman.” Tradisi tersebut merupakan satu perayaan yang menampilkan hidangan manisan tradisional yang enak dan sepohon pokok yang dinyalakan dengan lilin-lilin yang sebenar. (Untuk keselamatan, pokok yang baru ditebang tersebut dinyalakan semalaman sahaja.)

Sambil melihat pokok tersebut bernyala, saya teringat akan peristiwa pertemuan antara Musa dengan Tuhan dalam semak yang menyala. Sewaktu Musa menjaga domba-domba di tengah padang gurun, Musa terkejut melihat sebuah semak yang menyala tetapi tidak terbakar. Apabila Musa mendekati semak tersebut untuk menyiasat, tiba-tiba Tuhan memanggil Musa. Mesej yang diberikan oleh Tuhan dari semak tersebut bukanlah tentang penghakiman, tetapi tentang penyelamatan bagi orang Israel. Tuhan telah melihat kesusahan dan kesengsaraan umat-Nya yang telah diperhamba di Mesir dan Dia “turun untuk membebaskan mereka” (Keluaran 3:8).

Walaupun Tuhan telah menyelamatkan orang Israel daripada orang Mesir, seluruh umat manusia masih perlu diselamatkan—bukan sahaja daripada penderitaan fizikal, tetapi juga daripada kesan yang diakibatkan oleh kejahatan dan kematian yang berlaku di dunia ini. Beratus-ratus tahun kemudian, Tuhan bertindak balas dengan mengutus Cahaya pengharapan, iaitu Yesus, Anak-Nya (Yohanes 1:9-10). Tuhan mengutus Yesus “bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya” (3:17).