Permainan bola keranjang pelajar darjah enam tengah berlangsung dengan lancar. Ibu bapa serta datuk nenek bersorak untuk para pemain mereka, manakala adik-adik lelaki dan perempuan para pemain dalam pasukan sedang berseronok di ruang legar sekolah. Tiba-tiba, siren berbunyi dan lampu merah berkelip-kelip di dalam dewan. Penggera kebakaran telah diaktifkan. Sejurus itu, kanak-kanak yang berada di ruang legar sekolah bergegas kembali ke dewan dalam keadaan panik untuk mencari ibu bapa mereka.

Mujurlah tiada kebakaran; rupanya penggera telah diaktifkan secara tidak sengaja. Namun saya terkejut dengan respons kanak-kanak tersebut dalam detik krisis—tanpa segan mereka berlari memeluk ibu bapa mereka. Situasi itu menggambarkan tentang keyakinan kanak-kanak terhadap ibu bapa mereka yang mampu memberikan perasaan selamat dan jaminan kepada mereka pada waktu ketakutan!

Alkitab menceritakan tentang kisah Daud ketika dia mengalami ketakutan yang dahsyat. Pada masa itu Daud sedang dikejar oleh Saul dan musuh-musuhnya yang lain (2 Samuel 22:1). Selepas Tuhan menyelamatkan Daud, dia bersyukur kepada Tuhan dengan menyanyikan pujian yang lincah tentang pertolongan Tuhan. Dia memanggil Tuhan “pelindungku … kubu yang kuat bagiku” (ayat 2). Apabila “bahaya maut“ dan “kubur memasang perangkap” (ayat 6) mengejarnya, Daud “berseru kepada TUHAN” dan “[Tuhan] mendengar suara[nya]” (ayat 7). Akhirnya, Daud mengisytiharkan bahawa Tuhan telah “menyelamatkan aku”(ayat 18, 20, 49).

Dalam waktu ketakutan dan ketidaktentuan, kita boleh datang kepada “gunung batu” (ayat 32, TB). Apabila kita memanggil nama Tuhan, Dia menyelamatkan kita dan menyediakan tempat perlindungan bagi kita (ayat 2-3).