Berdasarkan sebuah puisi yang ditulis oleh Wadsworth Longfellow pada tahun 1863, “I Heard The Bells on Christmas Day” (Aku Mendengar Loceng pada Hari Krismas) merupakan sebuah lagu Krismas yang agak luar biasa. Kebiasaannya lagu Krismas dipenuhi dengan kegembiraan dan keriuhan, tetapi lirik lagu tersebut dipenuhi dengan keluhan dan tangisan. “Dalam keputusasaan, aku menundukkan kepalaku / Tiada kedamaian di bumi, kataku / Kerana kebencian ada di mana-man dan mengejek lagunya / Damai di bumi, bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.” Namun, bahagian keluhan dalam lagu ini akhirnya beralih ke bahagian yang penuh dengan harapan, meyakinkan kita bahawa “Tuhan tidak mati, dan tidak tidur / Yang salah akan gagal, orang yang benar akan menang / Damai di bumi, bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.”

Pola bangkitnya harapan daripada keluhan juga boleh ditemui dalam kitab Mazmur. Sebagai contoh, Mazmur 43 dimulai dengan ratapan si pemazmur tentang serangan daripada musuhnya (ayat 1) dan Tuhannya yang seakan-akan telah melupakannya (ayat 2). Namun, pemazmur tidak diam dan terus meratap—dia memandang kepada Tuhan yang dia tidak fahami sepenuhnya tetapi masih percaya, dia menyanyi, “Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku” (ayat 5).

Kehidupan ini dipenuhi dengan alasan untuk meratap, dan setiap kita akan selalu menghadapi pengalaman sebegitu. Namun, jika kita membiarkan keluhan-keluhan itu mengarahkan kita kepada Tuhan, sumber harapan kita, kita boleh menyanyi dengan penuh kegembiraan—walaupun kita menyanyi dengan tangisan.