Saya menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijadualkan, dan walaupun saya tidak mempunyai masalah kesihatan baru-baru ini, saya tetap takut dengan pemeriksaan tersebut. Ingatan masa lalu tentang diagnosis yang saya telah alami masih menghantui saya. Walaupun saya tahu bahawa Tuhan menyertai saya dan saya harus mempercayai-Nya, saya masih berasa takut.

Saya kecewa kerana takut dan kurang percaya kepada Tuhan. Jika Tuhan sentiasa menyertai saya, mengapakah saya begitu cemas? Kemudian pada suatu pagi, saya percaya bahawa Tuhan mengingatkan saya tentang kisah Gideon.

Gideon yang dipanggil sebagai “pahlawan yang gagah berani” (Hakim-Hakim 6:12, AVB), berasa takut akan tugasnya untuk menyerang orang Midian. Walaupun Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan hadir dan memberi kemenangan kepadanya, Gideon masih menginginkan pelbagai jaminan (ayat 16-23, 36-40).

Bagaimanapun, Tuhan tidak menghukum Gideon kerana perasaan takutnya. Tuhan memahami Gideon. Pada malam serangan tersebut, Tuhan sekali lagi meyakinkan Gideon akan kemenangannya, malah memberitahu Gideon cara untuk meredakan ketakutannya (7:10-11).

Tuhan juga memahami ketakutan saya. Keyakinan Tuhan telah memberi saya keberanian untuk mempercayai-Nya. Saya mengalami kesejahteraan-Nya, dan mengetahui bahawa Dia menyertai saya walau apa pun yang akan berlaku. Akhirnya, tiada masalah tentang keputusan pemeriksaan kesihatan saya.

Kita mempunyai Tuhan yang memahami ketakutan kita dan memberi keyakinan kepada kita melalui firman Tuhan dan Roh Kudus (Mazmur 23:4; Yohanes 14:16-17). Marilah kita menyembah Tuhan dalam kesyukuran, seperti yang dilakukan oleh Gideon (Hakim-Hakim 7:15).