“Saya tahu apa yang dikatakan mereka. Namun saya beritahu kamu …” Ketika saya masih kecil, saya mendengar ibu memberi ucapan tersebut beribu kali. Konteks tersebut selalunya disebabkan tekanan orang di sekeliling. Ibu ingin mengajar saya supaya tidak mengikut kelompok orang lain. Saya bukan lagi seorang budak, tetapi pemikiran ingin mengikut kelompok orang lain masih nyata dan aktif. Satu contoh terkini ialah ungkapan ini: “Hanya bergaul dengan orang yang berfikiran positif.” Mungkin ungkapan tersebut biasa didengari, namun soalan yang kita perlu tanyakan ialah: “Adakah ini mencontohi Kristus?”

“Tetapi saya berkata kepadamu…” Yesus menggunakan pembukaan kata ini beberapa kali dalam Matius 5. Dia mengetahui sepenuhnya apa yang dunia senantiasa memberitahu kita. Namun Dia ingin kita menjalani kehidupan yang ketara berbeza. Dalam kes ini, Dia berkata, “Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu” (ayat 44). Kemudian dalam Perjanjian Baru, rasul Paulus menggunakan kata yang serupa untuk menghuraikan siapa orang itu? Betul: kita— “semasa kita seteru Allah” (Roma 5:10). Jauh berbeza daripada sesetengah orang yang berkata, “buat seperti yang saya suruh, bukan seperti yang saya buat,” kata-kata Yesus didukung dengan perbuatan-Nya. Dia mengasihi kita, dan berkorban demi kita.

Bagaimanakah jika Kristus hanya membuka ruang dalam hidup-Nya kepada “orang yang berfikiran positif”? Apa yang akan terjadi kepada kita? Syukur kepada Tuhan yang kasih-Nya tidak membezakan orang. Tuhan sangat mengasihi dunia ini, dan dalam kekuatan-Nya kita dipanggil juga berbuat sedemikian.