Rakan saya Ruel, menghadiri satu pertemuan semula sekolah menengahnya yang diadakan di rumah bekas rakan sekelas. Rumah agam yang terletak di tepi laut berhampiran Teluk Manila itu boleh menampung seramai 200 hadirin, dan ini membuat Ruel berasa dirinya kecil.

“Saya menikmati tahun-tahun yang menggembirakan ketika melayani gereja-gereja di luar bandar yang terpencil,” kata Ruel kepada saya, “dan saya tidak dapat menahan rasa iri hati terhadap kekayaan rakan sekelas saya, walaupun saya sedar bahawa saya tidak sepatutnya berasa sedemikian. Fikiran saya tersasar dengan membayangkan bahawa kehidupan saya mungkin akan berbeza jika saya menggunakan ijazah saya untuk menjadi peniaga.

“Tetapi saya kemudian mengingatkan diri bahawa tiada yang perlu dicemburui,” kata Ruel sambil tersenyum. “Saya menyerahkan hidup saya untuk melayani Tuhan, dan hasilnya adalah sesuatu yang abadi.” Saya akan sentiasa mengingat wajahnya yang penuh dengan damai ketika dia mengucapkan kata-kata itu.

Ruel memperoleh kedamaian melalui perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus dalam Matius 13:44-46. Dia tahu kerajaan Tuhan adalah harta tersembunyi yang tak ternilai. Mencari dan hidup untuk kerajaan-Nya merujuk kepada pelbagai bentuk keadaan. Bagi sesetengah orang, hal itu mungkin bermakna pelayanan sepenuh masa, manakala bagi yang lain, ini mungkin merujuk kepada kehidupan yang memancarkan Injil di tempat kerja sekular. Tidak kira bagaimana Tuhan memilih untuk memakai kita, kita boleh terus mempercayai dan mentaati petunjuk-Nya, serta mengetahui tentang harta tidak ternilai yang diberikan kepada kita seperti perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus. Segala-gala yang ada di dunia ini mempunyai nilai yang jauh lebih rendah berbanding semua yang kita miliki dengan mengikut Tuhan (1 Petrus 1:4-5).

Apabila kita meletakkan kehidupan kita di tangan-Nya, ini akan menghasilkan buah yang kekal.