Mustahilnya air mata tidak bergenang apabila saya terlihat status media sosial yang dipos oleh kawan saya Ira pada tahun 2022. Hanya beberapa hari selepas dia meninggalkan rumahnya di Kyiv, iaitu ibu negara Ukraine yang telah dikepung, Ira telah berkongsi sekeping gambar lama yang menunjukkan dia mengangkat bendera negaranya selepas menamatkan suatu acara larian. Ira menulis, “Kita sedang berlari dengan sedaya upaya dalam maraton yang disebut sebagai kehidupan. Marilah kita berlari lebih baik lagi pada hari-hari sedemikian, dengan sesuatu yang tidak akan luput dalam hati kita.” Pada hari-hari kemudiannya, saya melihat pelbagai cara kawan saya meneruskan perlumbaan tersebut, dan sentiasa memaklumi kami dalam media sosial tentang keperluan doa dan sokongan bagi mereka yang sedang menderita di negaranya.

Kata-kata Ira telah membawa makna mendalam yang baharu kepada seruan yang dinyatakan dalam Ibrani 12, supaya orang percaya “berlari dengan gigih” (ayat 1). Seruan tersebut menyusuli kisah yang mengharukan dalam fasal 11 tentang wira-wira iman, iaitu “sebegitu ramainya saksi” (12: 1), yang telah hidup dengan iman yang penuh keberanian dan ketabahan—bahkan dengan risiko mengorbankan nyawa mereka (11:33-38). Sungguhpun mereka “melihat [janji Tuhan] pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya” (11:13), lalu mereka tetap hidup untuk sesuatu yang abadi, untuk sesuatu yang tidak akan luput.

Setiap orang yang percaya kepada Yesus diseru untuk hidup dalam cara yang sebegitu. Sebabnya shalom—kemakmuran dan keamanan—dalam kerajaan Tuhan adalah berbaloi untuk kita memberikan segala yang kita ada. Ini juga kerana teladan Kristus dan kuasa-Nya telah meneguhkan kita (12:2-3).