Dalam ruangan nasihat seorang pakar psikiatri, dia membalas keluhan Brenda, seorang pembacanya bahawa cita-cita yang dikejarnya telah mengakibatkan dia berasa tidak puas hati. Pakar psikiatri tersebut menjawab Brenda dengan terus terang. Menurutnya, manusia tidak diciptakan untuk berasa gembira, tetapi “hanya untuk tetap hidup dan berzuriat.” Dia menambah bahawa manusia telah dikutuk untuk mengejar kepuasan hati yang bak “kupu-kupu terbang melayang yang sukar dijangkau”, dan “bukan selalunya boleh ditangkap dengan berjaya”.

Saya pun tertanya-tanya tentang perasaan Brenda apabila dia membaca kata-kata pakar psikiatri tersebut yang menyatakan seakan-akan hidup ini tidak ada makna lain. Alangkah berbezanya dia mungkin akan berasa jika dia membaca Mazmur 131. Dalam Mazmur 131, Daud membimbing kita merenungkan cara untuk mencapai kepuasan hati. Daud bermula dengan sikap rendah hati dan mengetepikan cita-citanya sebagai raja. Walaupun pergelutan dengan soalan-soalan besar dalam hidup adalah penting, dia juga mengetepikannya (ayat 1). Kemudian, Daud menenangkan hatinya dalam hadirat Tuhan (ayat 2), dengan menyerahkan masa depannya ke dalam tangan Tuhan (ayat 3). Hasilnya amat indah: “ Aku puas hati dan tenteram. Seperti anak yang tenang di pangkuan ibunya” (ayat 2, TMV).

Di dunia kita yang serba celaru ini, kadangkala kepuasan hati sukar untuk dicapai. Dalam Filipi 4:11-13, rasul Paulus berkata bahawa kepuasan hati merupakan sesuatu yang perlu dipelajari. Akan tetapi, jika kita mempercayai bahawa manusia hanya diciptakan untuk “tetap hidup dan berzuriat,” kepuasan hati memang akan menjadi seperti kupu-kupu yang mustahilnya ditangkap. Daud telah menunjukkan cara lain kepada kita: mencapai kepuasan hati dengan menenangkan hati kita di dalam hadirat Tuhan.