Ketika melihat orang ramai memenuhi kereta api pada waktu pagi, saya mula berasa Monday blues (Kelesuan hari Isnin) menyelubungi saya. Dari wajah mereka yang kelihatan mengantuk dan marah di dalam kabin yang penuh sesak itu, saya tahu bahawa tiada seorang pun yang ingin pergi bekerja. Ada yang kebingungan kerana sebilangan orang berasak-asak untuk mendapatkan ruang dan ramai yang cuba berhimpit masuk. Satu lagi hari yang bosan di pejabat.

Kemudian, terlintas dalam benak saya bahawa setahun sebelumnya, kereta api adalah kosong kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19 telah menyebabkan rutin harian kita menjadi kucar-kacir. Kita langsung tidak dapat keluar untuk makan, dan ada yang amat rindu untuk pergi ke pejabat. Tetapi sekarang kita hampir kembali kepada keadaan sedia kala, dan ramai orang telah kembali bekerja—seperti biasa. Kini saya sedar bahawa “rutin” ialah berita baik, dan “bosan” ialah rahmat!

Raja Salomo mempunyai kesimpulan yang sama selepas merenung kerja keras harian yang nampaknya sia-sia (Pengkhutbah 2:17-23). Ada kalanya, semua ini kelihatan tiada penghujungnya, “tidak bermakna”, dan sia-sia (ayat 21). Namun kemudian dia menyedari bahawa walaupun hanya dapat makan, minum dan bekerja setiap hari, ini pun ialah rahmat daripada Tuhan (ayat 24).

Apabila kita berasa tertekan oleh rutin harian, ingatlah bahawa tugas-tugas harian kita yang sederhana itu ialah sesuatu yang bernilai. Marilah kita bersyukur kepada Tuhan kerana kita dapat makan dan minum, serta menikmati kesenangan hasil daripada jerih payah kita, kerana inilah pemberian Tuhan (3:13).