Ketika Jeff berumur 14 tahun, ibunya membawa dia pergi menonton persembahan seorang penyanyi terkenal. Seperti kebanyakan pemuzik pada eranya, B. J. Thomas terjerumus dalam gaya hidup yang merosakkan dirinya semasa mengadakan konsert di pelbagai tempat. Tetapi semua ini berlaku sebelum dia dan isterinya mengenal Yesus. Kemudian kehidupan mereka telah berubah sepenuhnya apabila mereka percaya kepada Kristus.

Pada malam konsert tersebut, penyanyi itu mula menghiburkan para hadirin penonton yang meriah. Tetapi selepas mempersembahkan beberapa buah lagu terkenalnya, seorang lelaki menjerit, “Hei, nyanyilah satu lagu untuk Yesus!” Tanpa teragak-agak, B. J. menjawab, “Saya baru sahaja menyanyikan empat buah lagu untuk Yesus.”

Beberapa dekad telah berlalu semenjak itu, Jeff masih ingat saat yang dia menyedari bahawa semua yang kita lakukan sepatutnya adalah untuk Yesus— bahkan perkara-perkara yang mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai “tidak beragama”.

Kadangkala kita mungkin tergoda untuk mengasingkan perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Membaca Alkitab. Memberi kesaksian iman. Menyanyikan lagu rohani. Inilah perkara suci. Memotong rumput. Berlari. Menyanyikan lagu kebangsaan. Inilah perkara duniawi.

Kolose 3:16 memperingatkan kita bahawa mesej Kristus menetap dalam diri kita melalui aktiviti-aktiviti seperti mengajar, menyanyi dan bersyukur, tetapi ayat 17 menjelaskan dengan lebih lanjut. Ia menekankan bahawa sebagai anak Tuhan, “Segala sesuatu yang [kita] lakukan atau katakan, haruslah dilakukan demi nama Tuhan Yesus” (TMV).

Kita melakukan semuanya untuk Dia.