Doa untuk Semua Orang

Doa untuk Semua Orang

Bacaan Alkitab: 1 Timotius 2:1-7
Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang. (1 Timotius 2:1)

Seorang wartawan menyuarakan kekecewaannya apabila melihat rakyat di negara lain menjalankan rutin harian mereka sedangkan koronavirus menular cepat di negaranya: “Kami melaungkan mesej ini kepada dunia apabila beberapa negara masih berseronok dan meneruskan kehidupan normal mereka: lihat apa yang sedang berlaku kepada kami! Anda perlu berhenti dan masuk ke dalam rumah.” Setiap negara memberi respons yang berbeza terhadap virus, kerana sempadan politik dan geografi. Namun sebagai orang yang percaya kepada Yesus tetapi bimbang terhadap wabak ini dan kebajikan orang lain, kita boleh mencurahkan kebimbangan kita kepada Tuhan yang tidak dibatasi oleh sempadan.

Rasul Paulus tahu akan kuasa berdoa kepada Tuhan, seperti yang ditekankan dalam suratnya kepada anak didiknya Timotius. Paulus mahu Timotius menasihati orang lain untuk terus berdoa, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi “untuk raja-raja dan semua penguasa” (1 Timotius 2:2). Paulus berusaha agar semua orang mengenal Tuhan melalui Yesus (ayat 4) dan melihat doa sebagai sebahagian panggilan dalam misi ini.

Kita mungkin berasa tidak berdaya pada masa krisis, tetapi semasa kita berdoa bagi orang di negara kita dan di seluruh dunia, kita boleh mempercayai bahawa Tuhan mendengar kita. Semasa kita berdoa bagi pemerintah, kita boleh mempercayai bahawa melalui doa kita Tuhan akan menyebarkan harapan dan membawa perubahan. – Amy Boucher Pye

Bagaimanakah anda rasa terpanggil untuk mendoakan orang di negara lain? Bagaimanakah anda dapat menaikkan doa dan permohonan anda dengan cara ini?
Tuhan yang di syurga, terima kasih kerana Engkau tidak dibatasi oleh sempadan; terima kasih kerana Engkau berasa senang hati untuk mendengar doa kami. Tolong aku bersyafaat bagi orang lain pada hari ini.

Kembali ke laman “Makanan bagi Jiwa”

1|2|3|4|5