Kristus Pada Hari Krismas

Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. -Yohanes 3:16

Hari Krimas di Singapura beriklim basah. Ia tidak bersalji, melainkan hujan turun. Kami yang membesar di keluarga yang bukan Kristian tidak meraikan Hari Krismas. Namun apabila saya masih kecil, saudara saya dan saya ingin saling bertukar hadiah Krismas dengan kanak-kanak di kawasan kejiranan kami. Saya tidak tahu sebab kami mempunyai idea ini—mungkin daripada rancangan televisyen yang kami tonton. Kami memasukkan kertas yang tertulis nama kami ke dalam satu beg, lalu setiap kami akan mencabut nama orang lain yang kami akan memberikan hadiah. Ada orang sangat gembira terhadap hadiah yang diterima; ada pula tidak begitu puas dengan hadiahnya; namun kesemua kami amat gembira kerana dapat menerima hadiah.

Kita tidak menyedari bahawa hadiah yang sempurna ini telah diberikan oleh Tuhan Pencipta kita pada 2,000 tahun yang lalu. Alkitab memberitahu kita, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal” (Yohanes 3:16). Semasa saya seorang remaja, saya terdengar tentang hadiah ini dan menerima Yesus sebagai Penyelamat saya.

Saya masih mengingat sambutan hari Krismas saya yang pertama sebagai orang yang percaya kepada Kristus. Krismas adalah istimewa sekarang kerana akhirnya saya memahami maksudnya—ia merupakan satu perayaan yang menyambut hadiah Tuhan yang sempurna, Yesus Kristus. Saya menyedari bahawa Tuhan bukan sesuatu kuasa yang mistik; Dialah Tuhan yang ingin membina perhubungan peribadi dengan kita dan mengasihi setiap bangsa daripada pelbagai lapisan sosioekonomi. Tuhan yang sama ini juga menyatakan kasih-Nya dengan mati pada kayu salib demi saya.

Pada musim perayaan ini—dan selalunya—semoga kita terus menumpukan pandangan kita pada peranan utama Krismas ini—Kristus. POH FANG CHIA

Di Betlehem, Tuhan menunjukkan bahawa mengasihi orang adalah memberikan diri-Nya.

Bacaan Hari Ini: Yohanes 3:16-21

16 Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. 17 Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.
18 Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. 19 Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. 20 Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. 21 Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah.