Menuntut Janji Tuhan bagi Diri Sendiri

 

Sebagaimana yang sudah anda baca dan pelajari, dengan menghafal dan merenungkan pelbagai petikan dalam Alkitab, apakah bahagian yang nampaknya paling sukar untuk dipercayai?

Bahagian nubuat? Naratif? Petikan doktrin? Ataupun janji Tuhan?

Ramai orang Kristian mempunyai masalah paling besar untuk mempercayai janji-janji Tuhan. Janji-janji ini kedengaran indah, dan ada kalanya juga menghiburkan kita. Tetapi kita berfikir: Adakah semuanya sungguh-sungguh benar? Tanpa disedari, kita mempersoalkan jika Tuhan benar-benar menunaikan janji-Nya.

D. L. Moody berkata dengan yakin, “Tuhan tidak pernah membuat janji yang terlalu sukar untuk dipercayai.” Fikirkan hal itu!

Dalam Perjanjian Lama, kita membaca, “TUHAN menepati tiap-tiap janji-Nya kepada umat Israel” (Yosua 21:45; bandingkan 23:14-15). Salomo kemudian berkata, “Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya” (1 Raja-Raja 8:56).

Tiada janji Tuhan yang pernah gagal! Satu-satunya perkara kukuh yang boleh kita isytiharkan dapat ditemukan dalam firman-Nya. Selain wahyu Tuhan, Alkitab menjelaskan perkara yang melampaui pengertian manusia.

Tuhan telah banyak kali berkata melalui firman-Nya yang berkuasa dan telah memberikan kita—selaku pengembara milik Tuhan yang sedang melalui dunia ini—“berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya” (2 Petrus 1:4).

Beberapa janji-Nya ditulis khusus untuk individu (Yosua 14:9), kumpulan (Ulangan 15:18), atau sesebuah bangsa (Hagai 1:13). Kita mesti berhati-hati supaya tidak menuntut janji jelas yang sebenarnya untuk orang lain!

Kita bersyukur kerana ada banyak janji dalam Perjanjian Lama diulangi dalam Perjanjian Baru yang dapat kita tuntut pada hari ini. Tuhan berjanji kepada Yosua, “Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau” (Yosua 1:5). Dalam Ibrani 13:5, Tuhan memindahkan janji itu kepada kita sebagai orang Kristian.

Charles Spurgeon berkata, “Hai manusia, saya berseru kepada anda semua agar jangan menganggap janji Tuhan itu sebagai perkara untuk ditonton seperti melawat muzium; melainkan mempercayai dan mengaplikasikannya.” Kita memiliki janji Tuhan dengan mempelajarinya (melalui pengkajian dan penghafalan), dengan melihat keperluan kita untuk janji itu (melalui meditasi), dan dengan memberi Tuhan masa untuk bekerja melaluinya dalam pengalaman harian kita (melalui aplikasi).

J. I. Packer berkata, “Tuhan mengajar orang percaya untuk menghargai hadiah yang dijanjikan dengan membuat mereka menanti-nantikannya, dan mendesak mereka agar berdoa dengan tekun untuk hadiah itu sebelum Dia memberikannya.”

Tuhan telah berjanji untuk memenuhi segala keperluan kita. Tetapi kita mesti meminta pembekalan-Nya. Kristus berkata, “Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu” (Matius 7:7).

Mana-mana janji Tuhan yang boleh kita tuntut dalam nama Yesus adalah terjamin dan akan dilaksanakan oleh Tuhan bagi kita untuk kemuliaan-Nya (Yohanes 14:13-14; 2 Korintus 1:20).

Apakah keperluan anda pada hari ini? Tuhan telah berjanji untuk memenuhi keperluan itu! Percayalah sepenuhnya kepada kata-kata-Nya.

Renungan:

  • Apakah janji firman Tuhan yang menjadi ayat kegemaran anda? Mengapakah ini menjadi ayat kegemaran anda? Bagaimanakah Tuhan telah menggenapi janji itu dalam kehidupan anda?
  • Apakah salah satu keperluan terbesar anda pada ketika ini? Bagaimanakah Tuhan telah berjanji dengan firman-Nya untuk memenuhi keperluan tersebut? Apakah ayat Alkitab itu?

Tindakan:

  • Pilih janji yang baharu daripada Tuhan, hafalkan dan renungkannya pada minggu ini. Atau perhatikan semula ayat kegemaran lama yang masih berbicara untuk keperluan masa kini.
  • Jika anda belum memiliki Alkitab yang penuh dengan janji Tuhan, sila dapatkan satu apabila anda mengunjungi kedai buku Kristian.

 

(Artikel ini diterjemahkan daripada buku Healthy Habits for Spiritual Growth, Amalan 14)

 

 

Kembali ke halaman utama “Amalan Kerohanian yang Sihat