Pokok Berkat

Kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. -Lukas 1:49

Saya pernah membaca cerita tentang sepasang suami isteri yang mengalami kegagalan perniagaan dan tidak mempunyai banyak duit untuk Krismas. Mereka sebenarnya merancang untuk berpindah rumah selepas tahun baru, namun mereka tidak ingin merosakkan musim perayaan ini kerana peristiwa ini. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk mengadakan satu parti. Apabila para hadirin datang, mereka melihat sebatang pokok sedar yang dihiaskan lampu dan kertas kepingan yang digulungkan telah digantung pada ranting-ranting pokok itu dengan reben.

“Selamat datang ke ‘pokok berkat’ kami!” kata mereka dengan senyuman yang berseri-seri. “Walaupun pada masa kesusahan, Tuhan telah memberkati kami dengan begitu banyak cara, maka kami ingin mempersembahkan pokok kami kepada Dia. Setiap keping kertas menggambarkan satu berkat yang diberikan-Nya kepada kita pada tahun ini.”

Pasangan ini telah menghadapi lebih banyak pencubaan kemudian, tetapi mereka telah mengambil keputusan untuk menumpukan fokus pada Tuhan. Mereka sering mengatakan bahawa Krismas dengan “pokok berkat” itu adalah salah satu perkara yang paling indah dalam hidup mereka, kerana mereka dapat mengakui seperti Maria: “Jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku … kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku (Lukas 1:47-49).

Apa jua kesusahan yang anda hadapi, janganlah biarkan kesemuanya merosakkan Krismas, kerana tiada sesuatu pun dapat merosakkan Kristus! Tumpukan fokus anda pada Yesus dan carilah cara-cara untuk berkongsi berkat-Nya dengan orang lain—mungkin melalui “pokok berkat” anda sendiri.” JOANIE YODER

Untuk meraikan Krismas yang bermakna, letakkan Kristus di tempat pertama dalam hidup anda.

BACAAN HARI INI: Lukas 1:46–55

46 Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; 47 jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, 48 Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, 49 kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. 50 Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. 51 Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. 52 Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. 53 Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. 54 Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. 55 Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!”