Hadiah Yang Terbaik Dalam Kehidupan Ini

Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. —1 Tawarikh 16:8

Dalam satu kem pembaharuan rohani di utara New England, Amerika Syarikat pada musim sejuk, salah seorang lelaki menanyakan soalan ini, “Apakah hadiah Krismas yang anda paling suka?”

Seorang lelaki yang kuat dan tangkas kelihatan amat berminat untuk menjawabnya.

“Hal itu mudah sahaja,” katanya, sambil memandang sepintas lalu pada kawan yang duduk di sebelahnya. “Beberapa tahun yang lalu, saya menamatkan pelajaran saya di universiti dan yakin bahawa saya boleh dipilih untuk menjadi pemain profesional bola sepak Amerika. Namun apabila hal itu tidak berlaku, saya sangat marah. Kepahitan menusuk ke tulang saya, malah saya turut ‘melontarkan’ kepahitan itu kepada sesiapa yang mencuba untuk membantu saya.

“Pada musim kedua yang saya tidak dipilih oleh apa-apa pasukan bola sepak Amerika, saya menghadiri satu pertunjukan Krismas di gereja lelaki ini,” katanya sambil menunjuk jarinya ke arah kawannya. “Bukanlah saya ingin mengenal Yesus, melainkan saya hanya ingin melihat anak buah perempuan saya membuat persembahan dalam pakaian Krismasnya. Susahnya untuk menceritakan seluruh peristiwa kerana ia kedengaran bodoh, tetapi di tengah-tengah pertunjukan pentas itu, saya amat ingin menyertai para gembala dan malaikat untuk bertemu dengan Yesus. Apabila pelakon-pelakon habis menyanyikan lagu ‘Malam Kudus,’ saya hanya duduk dan menangis di situ.

“Saya mendapat hadiah Krismas yang terbaik pada malam itu, katanya, sekali lagi menunjuk jari ke arah kawannya, “lelaki ini meminta keluarganya pulang ke rumah terlebih dahulu supaya dia boleh tinggal di gereja untuk memberitahu saya bagaimana untuk mengenal Yesus.”

Pada musim Krismas ini, semoga cerita kelahiran Yesus yang sederhana dan penuh sukacita ini mendorong hati kita untuk mengenal Dia. RANDY KILGORE

Hadiah Krismas yang paling baik adalah Yesus membawa kesejahteraan dan pengampunan kepada kita.

BACAAN HARI INI: 1 Tawarikh 16:8–13

8 Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. 9 Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan. 10 Dialah TUHAN Yang Esa; bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita! 11 Mintalah pertolongan TUHAN; sembahlah Dia sentiasa. 12-13 Hai keturunan Yakub, hamba Allah, hai keturunan Israel, umat pilihan Allah, ingatlah akan mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya.