Bayi Lelaki

[Maria] melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung … -Lukas 2:7

Iklan yang memenuhi satu halaman dalam surat khabar menarik perhatian saya dengan serta-merta. Di bahagian atas halaman yang berwarna biru muda itu terdapat bayangan satu bintang. Di tengah-tengah halaman tersebut dituliskan kata-kata ini.

Anak Lelaki dilahirkan.

Di bahagian bawah halaman itu tercetaklah Lukas 2:11: “Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan.”

Pemberitaan yang terus-terang ini—anak lelaki dilahirkan—mengisytiharkan anugerah yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata manusia, iaitu Penyelamat telah datang ke dunia sebagai bayi. Mengapakah Dia melakukannya?

Kita memerlukan Tuhan untuk mengutus Anak-Nya, Yesus. Oleh sebab dosa kita, maka kita telah terpisah daripada Tuhan yang suci (Roma 3:23). Seorang Penyelamat dan pengantara yang sempurna diperlukan untuk menjadikan hubungan kita dengan Tuhan berbaik semula. Hanya Tuhan yang dapat memulihkan hubungan tersebut.

Tuhan hendak mengutus Yesus. Dia sangat mengasihi kita sehingga Dia mengurniakan Anak-Nya (Yohanes 3:16) agar perhubungan kita dengan Dia dipulihkan. Hanya Yesus yang dapat memenuhi tuntutan korban yang sempurna—hanya Dia yang tidak berdosa (Ibrani 9:11-15). Dia menyerahkan diri-Nya dengan rela hati untuk disalibkan. Tuhan menerima korban itu dan membangkitkan Yesus daripada kematian.

Oleh sebab keperluan kita akan kasih-Nya, Tuhan Bapa telah memberi kita anugerah, iaitu Yesus Anak-Nya. Terimalah anugerah-Nya pada hari ini—ia adalah percuma. ANNE CETAS

Yesus mati agar kita boleh hidup.

BACAAN HARI INI: Roma 3:22–26

22 Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: 23 Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. 24 Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. 25 Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. 26 Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.