Amalan 3
Menyingkirkan Rasa Bersalah
Sebagai orang Kristian, kita bersukacita kerana penyelamatan kita terjamin dalam Kristus dan segala dosa kita dipadamkan dengan darah Kristus selama-lamaya. Kita terkagum akan belas kasihan Tuhan yang mengampuni kita walaupun kita tidak layak untuk menerimanya. Namun sering kali kita tidak mengampuni diri kita sendiri!
Ya, kita tahu bahawa “Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita” (Mazmur 103:12). Tetapi dari saat matahari terbit sampai matahari terbenam, kita terangkat beban berat rasa bersalah.
Disebabkan oleh alasan yang tidak diketahui, kita berasa bahawa kita perlu mengangkat beban berat ini walaupun Tuhan tidak pernah menyuruh kita mengangkatnya. Sebaliknya, Tuhan menyuruh kita membuangnya! Justeru sebagai hamba-hamba Tuhan, kita mesti belajar untuk menyingkirkan rasa bersalah.
Ada kalanya beban rasa bersalah hanyalah perasaan yang palsu bahawa kita dihukum. Sewaktu saya masih muda, ibu saya sangat percaya bahawa lantai di panggung wayang akan terbuka dan saya akan jatuh ke dalam api neraka jika saya pergi menonton wayang, tidak kira apa mesej yang disampaikan dalam wayang tersebut. Setiap kali saya berlalu di hadapan panggung wayang, saya merasakan bahawa diri saya ini jahat. Itu adalah rasa bersalah yang palsu!
Paul Tornier, ahli psikologi yang terkenal dari Switzerland berkata, “Rasa bersalah yang palsu muncul akibat daripada penghakiman dan fikiran manusia.” Ada orang cuba mengawal atau memanipulasikan kita dengan membentuk peraturan ataupun perintah yang tidak pernah disebut dalam Alkitab. Sebagai hamba Tuhan, kita bukanlah abdi kepada peraturan manusia. Kita mesti berjaga-jaga dan berdoa untuk mengenal pasti rasa bersalah yang palsu dan melepaskannya.
Dalam situasi yang lain, kita terangkat beban berat rasa bersalah kerana kita tidak menanganinya dengan betul. Sekurang-kurangnya terdapat tiga respons yang tidak wajar terhadap rasa bersalah yang sebenar.
Pertama, kita menahan rasa bersalah kita. Kita cuba menutupinya dan menyangkal kewujudannya. Kita memfokuskan kesilapan yang kecil dan tidak mengakui rasa bersalah yang sebenar. Akibatnya, kita kehilangan kedamaian dan sering juga menderita secara fizikal.
Kedua, kita menyesali kesilapan kita. Tetapi dengan hanya mengatakan ‘saya minta maaf,’ kita gagal mengakui keseriusan dosa dan tanggungjawab kita.
Ketiga, kita berasa sedih disebabkan oleh dosa kita. “Saya tidak akan melakukannya lagi,” kita berjanji. Yudas berasa sedih selepas mengkhianati Kristus (Matius 27:3-4). Tetapi dia tidak mengambil satu langkah yang dipanggil pertaubatan dalam Alkitab.
Pertaubatan ialah respons Alkitabiah terhadap rasa bersalah. Pada saat kita menyerahkan hidup kita kepada Kristus, dosa-dosa kita, baik yang sudah lalu, sekarang, dan yang akan datang, semuanya telah diampuni. Kebenaran Tuhan telah dicapai. Tetapi kita mesti mengekalkan persekutuan, kebergantungan, dan ketaatan kita kepada Tuhan. Ini menuntut pengakuan dosa kita kepada Tuhan pada saat kita menyedarinya.
C. S. Lewis berkata bahawa rasa bersalah yang sebenar ialah sistem amaran dalaman yang mendedahkan dosa dalam kehidupan kita dan menunjukkan bahawa kita kehilangan persekutuan dengan Tuhan. Roh Kudus menggunakan rasa bersalah untuk mendorong kita agar berpaling daripada dosa dan kembali kepada Tuhan.
Sekali kita sudah menyingkirkan rasa bersalah yang palsu dan menangani dosa kita dengan betul, kita bebas daripada beban rasa bersalah. Yesaya 55:6-7 memberikan kita keyakinan ini: “Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat. Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka, dan mengubah jalan fikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita, kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni.”
Singkirkan beban dan berpalinglah kepada Tuhan hari ini!
Renungan:
Adakah rasa bersalah yang belum selesai dalam kehidupan anda? Apakah hal itu? Apakah langkah-langkah yang sudah anda ambil untuk menyelesaikan hal ini?
Dalam Matius 11:29-30, Yesus berjanji bahawa beban yang diberikan-Nya tidak berat. Dengan itu, hal mengangkat beban rasa bersalah adalah tidak masuk akal. Kenapa tidak menyingkirkannya?
Tindakan:
Jika anda bergelut dengan rasa bersalah yang samar-samar, bawalah hal itu kepada Tuhan.
Minta agar Tuhan menunjukkan jika ada dosa spesifik yang belum diakui dalam kehidupan anda. Apabila Dia melakukan hal itu, bertaubatlah terus daripada dosa tersebut, dan ingatlah bahawa Tuhan sudi mengampuni dan melupakan dosa kita.