Amalan 4
Mengalami Pengalaman yang Paling Menakjubkan
Apabila saya masih muda, saya berasa teruja jika dapat menyampaikan Injil Yesus Kristus dalam pertemuan jalanan, pertemuan kanak-kanak, dan pertemuan besar-besaran. Saya berdoa, belajar dan berkhutbah, tetapi saya masih berasa kecewa.
Akhirnya saya menyedari bahawa saya tidak memiliki kurnia penginjilan. Hal itu memang jelas. Tidak kira betapa bersemangatnya saya berkhutbah, akan tetapi tiada seorang pun yang mempercayai Yesus Kristus. Tiada apa-apa yang saya lakukan dapat mengubah keadaan ini. Saya diinspirasikan oleh perkara-perkara yang saya baca dan dengar tentang pelayanan Billy Graham, namun saya menyedari bahawa saya tidak mempunyai apa yang dimilikinya.
Saya pun memberikan Tuhan satu “tarikh akhir”: “Jika tiada orang menerima Yesus sebagai Penyelamat melalui khutbah saya menjelang hujung tahun, maka saya akan berhenti.” Saya akan tetap menjadi seorang Kristian yang aktif, tetapi saya akan mendedikasikan diri untuk mengajar orang percaya dan tidak lagi berkhutbah tentang Injil kepada orang yang sesat.
Hujung tahun pun tiba dan berlalu. Masih tiada orang percaya yang baru. Saya telah membuat keputusan: Saya akan berhenti berkhutbah. Sekarang saya sungguh pasti bahawa saya tidak memiliki kurnia itu.
Pada suatu pagi hari Sabtu, kira-kira 4 hari selepas tahun baru, gereja kecil saya mengadakan kelompok pengkajian Alkitab di rumah seorang saudara seiman. Saya tidak ingin menghadirinya, tetapi saya pergi juga disebabkan oleh sikap setia terhadap kepimpinan gereja. Namun orang yang sepatutnya mengajar Alkitab tersebut tidak muncul pada hari itu. Maka tuan rumah berkata kepada saya, “Luis, kamu perlu berkata sesuatu.”
Saya langsung tidak dapat membuat apa-apa persediaan. Namun saya telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Graham yang dipanggil The Secret of Happiness (Rahsia Sukacita), yang berdasarkan Khutbah di atas Bukit. Jadi saya membacakan Matius 5:1-12. Kemudian saya mengulangi apa sahaja yang saya ingat daripada buku Dr. Graham.
Ketika saya sedang memberi penerangan tentang frasa, “Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah!”, tiba-tiba seorang wanita berdiri. Dia mula menangis dan berkata, “Hati saya tidak murni. Bagaimanakah saya dapat melihat Tuhan? Tolong memberitahu saya cara untuk memiliki hati yang murni.” Saya berasa sungguh bersukacita untuk memimpin dia kepada Yesus Kristus!
Saya tidak mengingat nama wanita itu, tetapi saya tidak akan melupakan kata-katanya: “Tolong memberitahu saya cara untuk memiliki hati yang murni.” Kami bersama-sama membacakan ayat dalam Alkitab, “darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa” (1 Yohanes 1:7). Wanita itu menemukan kesejahteraan dalam Tuhan dan kembali ke rumahnya dengan hati yang murni, yang berlimpah dengan sukacita.
Apabila anda berjaya memimpin orang kepada Yesus Kristus, ia merupakan sukacita yang terbesar. Majlis konvokesyen anda memang menakjubkan, hari perkahwinan anda menakjubkan, dan kedatangan anak pertama adalah menakjubkan, tetapi perkara yang paling menakjubkan yang boleh anda lakukan adalah memimpin seseorang kepada Kristus. Dan hal itu akan menjadikan anda “ketagih” untuk melakukannya. Apabila anda melakukannya, anda tidak mahu berhenti.
Saya mencabar anda mengucapkan doa ini, “Tuhan, saya menginginkan pengalaman seperti itu. Saya mahu mengetahui apa maksudnya melayani sebagai utusan-Mu dan memimpin orang lain kepada Yesus Kristus.”
Apa pun kedudukan kita dalam tubuh Kristus, marilah kita meluaskan visi kita untuk menjemput orang lain masuk ke dalam pemerintahan Tuhan. Tuhan tidak mempunyai Rancangan A, B, ataupun C untuk menyampaikan Injil kepada dunia. Dia hanya ada satu rancangan—iaitu anda dan saya.
Renungan:
Dalam Yohanes 1, kita membaca tentang Andreas yang bertemu dengan Yesus dan mula memperkenalkan orang lain kepada Tuhan. Mengapakah dia begitu bersukacita untuk memberitahu kepada saudara dan kawan-kawannya tentang Yesus?
Siapakah yang anda kenal di kalangan keluarga, jiran, sekolah, tempat kerja dan masyarakat yang belum percaya kepada Yesus Kristus?
Tindakan:
Di atas kad berukuran 3 cm x 5 cm, tuliskan sekurang-kurangnya lima nama orang yang anda kenal, yang belum percaya kepada Yesus. Buat komitmen untuk mendoakan penyelamatan mereka.
Letakkan bintang pada nama orang yang anda berpendapat tidak mungkin akan percaya kepada Kristus. Berdoa untuk dia. Jangan terkejut jika suatu hari nanti dia menjadi seorang Kristian.