Aktiviti keagamaan merangkumi segala sesuatu, ia bagaikan tangga yang membawa kita ke syurga, atau yang mengurangkan rasa bersalah bagi hati nurani seseorang. Namun, apakah agama—adakah ini mencukupi? Artikel ini memberikan 10 alasan untuk percaya bahawa agama tidak dapat memenuhi keperluan manusia yang paling mendalam. Sebaliknya, kita dibimbing untuk mengadakan perhubungan yang peribadi dengan Tuhan melalui Anak-Nya.


1. Kristus Ialah Seorang Peribadi Untuk Dikenali Dan Dipercayai
Kristus bukan semata-mata suatu sistem, tradisi atau kepercayaan. Dia seorang Peribadi yang mengetahui keperluan kita, turut merasakan kesakitan kita dan bersimpati terhadap kelemahan kita. Untuk membawa kita percaya kepada-Nya, Dia mengampunkan dosa kita, berdoa bagi kita dan membawa kita kepada Bapa-Nya. Dia menangisi kita, mati bagi kita dan bangkit daripada kematian untuk menunjukkan bahawa Dia benar-benar seperti apa yang dikatakan-Nya. Dengan mengalahkan kematian, Dia menunjukkan kepada kita bahawa Dia dapat menyelamatkan kita daripada dosa serta menyatakan hidup-Nya melalui kita di bumi ini, kemudian dengan aman membawa kita ke syurga. Dia menyerahkan diri-Nya sebagai hadiah kepada sesiapa yang hendak percaya kepada-Nya (Yohanes 20:24-31).


2. Agama Adalah Sesuatu Yang Dipercayai Dan Dilakukan
Agama bererti mempercayai Tuhan, menghadiri pertemuan keagamaan, mengikuti kelas doktrin asas, dibaptis dan mengambil bahagian dalam Perjamuan Tuhan. Agama mempunyai tradisi, tatacara ibadat, upacara keagamaan dan pelajaran untuk membezakan apa yang benar dan apa yang salah. Agama adalah membaca dan menghafaz ayat-ayat Alkitab, mengucapkan doa, memberikan sumbangan kepada orang miskin, dan merayakan hari-hari perayaan agama. Agama adalah bernyanyi dalam kumpulan koir, membantu orang miskin dan membetulkan kesalahan yang lalu. Agama adalah sesuatu yang diamalkan oleh orang Farisi, iaitu para pemimpin agama yang cinta akan firman Tuhan, konservatif, bersendirian dan amat membenci Kristus sehingga menuntut Dia dijatuhi hukuman mati. Mereka membenci Kristus bukan hanya Dia melanggar tradisi mereka untuk menolong orang lain (Matius 15:1-9), tetapi disebabkan Dia melihat isi hati sebenar mereka.


3. Agama Tidak Mengubah Hati
Yesus mengatakan bahawa orang Farisi yang taat kepada hukum Tuhan adalah seperti sekumpulan pembasuh pinggan mangkuk yang hanya membersihkan bahagian luar cawan tetapi membiarkan bahagian dalam cawan itu kotor. Dia berkata, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan. Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?” (Lukas 11:39-40). Yesus tahu bahawa seseorang boleh mengubah wajahnya tanpa mengubah kelakuannya (Matius 23:1-3). Dia tahu bahawa kelayakan dan upacara keagamaan tidak boleh mengubah hati. Dia memberitahu salah seorang yang sangat taat kepada Tuhan pada zaman-Nya, bahawa untuk menikmati pemerintahan Allah, seseorang harus “dilahirkan semula” oleh Roh (Yohanes 3:3). Namun, sejak hari itu sehinggalah hari ini, ramai orang yang paling beragama pun terus-menerus melupakan bahawa walaupun agama boleh memelihara penampilan luar seseorang, tetapi hanya Kristus yang dapat mengubah hati.


4. Agama Membesar-besarkan Perkara Kecil
Yesus berkata kepada para agamawan yang sangat memperhatikan hal-hal kecil apabila Dia berkata, “Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberi sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain” (Lukas 11:42). Yesus tahu bahawa manusia mudah menetapkan peraturan dan menumpukan perhatian kepada “kelakuan yang betul secara moral”, namun mereka tidak memfokuskan kepada isu yang lebih besar, contohnya sebab kita berusaha untuk menjadi benar. Walaupun orang Farisi berpengetahuan tinggi, namun mereka lupa bahawa Tuhan tidak peduli seberapa banyak yang kita ketahui, tetapi seberapa banyak kita mengambil berat tentang orang lain. Soal “mengapa” yang lebih utama inilah yang difikirkan oleh Rasul Paulus apabila dia menulis, “Meskipun aku dapat bercakap dalam pelbagai bahasa manusia, bahkan dalam bahasa malaikat sekalipun, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka kata-kataku hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna … Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku” (1 Korintus 13:1,3).


5. Agama Mementingkan Restu Manusia, Bukan Restu Tuhan
Yesus melemparkan kritikan-Nya yang paling keras kepada orang beragama yang mengambil kesempatan dalam kedudukan rohani mereka supaya mendapatkan perhatian sosial dan penghormatan. Maka Yesus berkata kepada orang agamawan seperti itu, “Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar” (Lukas 11:43). Kemudian, Dia memberitahu para pengikut-Nya tentang orang Farisi, “Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang” (Matius 23:5). Yesus melihat dengan jelas tentang amalan keagamaan, yang lebih mementingkan dan menginginkan restu manusia dan bukan restu Tuhan.


6. Agama Menjadikan Kita Orang Munafik
Yesus berkata, “Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari” (Lukas 11:44). Apakah yang kelihatan lebih menarik daripada berpakaian betul, menghadiri pertemuan keagamaan, dan melakukan hal-hal yang menunjukkan bahawa kita orang yang baik-baik dan takwa kepada Tuhan? Bagaimanapun, ramai pakar agama, pastor, dan orang percaya yang setia tidak memberikan penghormatan dan dorongan kepada isteri mereka, tidak memberikan perhatian kepada anak-anak mereka, serta tidak mengasihi musuh mereka. Yesus mengetahui apa yang kita sering lupakan: Apa yang kelihatannya baik mungkin mempunyai hati yang jahat.


7. Agama Menyebabkan Hidup Lebih Susah Lagi
Oleh sebab agama tidak dapat mengubah hati, maka agama akan cuba menguasai orang dengan menggunakan hukum dan harapan yang tidak dapat diikuti pun oleh para agamawan sendiri, iaitu mereka yang mentafsirkan dan menguatkuasakan hukum tersebut. Dengan “faktor beban” ini dalam fikiran-Nya, Yesus berkata, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk
menolong mereka memikul beban itu” (Lukas 11:46). Agama pandai menerangkan standard yang tinggi tentang kelakuan dan perhubungan, tetapi tidak memberikan pertolongan yang sejati dan belas kasihan kepada orang yang sedar bahawa mereka tidak mencapai apa yang diharap-harapkan.


8. Agama Membuat Kita Mudah Menipu Diri Sendiri
Orang berkata secara jenaka, “Aku cinta akan umat manusia. Orang yang membuat aku tidak tahan.” Orang Farisi mengamalkan pendapat yang serupa, tetapi hal itu bukanlah suatu jenaka. Menurut Yesus, orang Farisi menyombongkan diri dengan menghormati dan membina tugu peringatan bagi nabi-nabi. Namun secara ironi, apabila mereka bertemu dengan seorang nabi sejati, mereka hendak membunuh Dia. Ahli teologi Barclay berkata, “Nabi-nabi yang mereka kagumi ialah nabi-nabi yang sudah mati; apabila mereka bertemu dengan seorang nabi yang masih hidup, mereka cuba membunuh Dia. Mereka memberikan penghormatan kepada nabi-nabi yang sudah mati dengan kubur dan peringatan, tetapi mereka menghina nabi-nabi yang hidup dengan penganiayaan dan kematian.” Inilah perkara yang dijelaskan oleh Yesus dalam Lukas 11:47-51 dan ayat-ayat paralel dalam Matius 23:29-32. Orang Farisi telah memperbodoh diri mereka sendiri. Mereka tidak menganggap diri mereka sebagai pembunuh nabi. Orang agamawan tidak melihat diri mereka sendiri sebagai orang yang menolak Tuhan.


9. Agama Menyembunyikan Kunci Pengetahuan
Salah satu bahaya yang paling besar dalam agama ialah ia bukan sahaja membahayakan diri kita sendiri tetapi juga kepada orang lain. Kepada pakar Alkitab yang sangat taat kepada Tuhan dalam zaman-Nya, Yesus berkata, “ Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!” (Lukas 11:52). Para agamawan mengambil “kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan” dengan menjauhkan orang daripada firman Allah dan “tumpuan hati yang betul.” Perkara ini berlaku kerana mereka menambahkan tradisi dan peraturan yang dianggap betul dalam denominasi gereja, tetapi sebenarnya tidak begitu perlu. Para agamawan mengalihkan fokus orang kepada diri mereka dan peraturan yang dibuat oleh mereka, dan bukan membawa orang kepada Tuhan. Ahli-ahli agama ialah orang yang percaya bahawa kepercayaan dan amalan agama mereka dapat menggantikan hal-hal yang sesungguhnya hanya dapat dilakukan oleh Kristus.


10. Agama Menyesatkan Para Pengikutnya
Dalam Matius 23:15, Yesus berkata, “Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri!” Pemeluk sesuatu agama berada dalam bahaya yang dua kali ganda banyaknya. Mereka membawa keghairahan yang dua kali kuatnya dalam cara hidup yang baru, dan dengan semangat serta membabi buta, mereka membela guru-guru mereka yang juga buta. Mereka menyerahkan hidup mereka dalam tangan orang yang mengikuti sistem peraturan dan tradisi, lalu membuang kehidupan, pengampunan dan perhubungan dengan Penyelamat yang abadi. Dalam erti tertentu, agama itu penting (Yakobus 1:26-27). Namun, agama itu penting hanya apabila ia membawa kita kepada Kristus yang mati kerana dosa-dosa kita, dan kini memberi diri-Nya untuk hidup melalui orang yang percaya kepada-Nya (Galatia 2:20; Titus 3:5).


*Juga terdapat dalam Edisi Prapaska (Lent Edition)