Apabila Elsie ditimpa kanser, dia sudah bersedia dipanggil Tuhan. Akan tetapi Elsie pulih walaupun penyakit itu menyebabkan dia tidak dapat berjalan. Selain itu, Elsie tertanya-tanya sebabnya Tuhan menyembuhkannya. “Apa lagi yang dapat aku lakukan?” Elsie bertanya kepada Tuhan. “Aku tidak ada banyak wang atau kemahiran, dan aku tidak dapat berjalan. Apakah yang aku dapat lakukan untuk Engkau, ya Tuhan?”

Kemudian, Elsie menemukan cara yang sederhana tetapi bermakna untuk melayani orang lain, terutamanya para pembantu rumahnya yang merupakan warga asing. Dia membelikan makanan atau memberi mereka sedikit wang setiap kali dia berjumpa dengan mereka. Wang tunai yang diberikan ini tidak seberapa, namun tindakan ini banyak membantu para pekerja tersebut untuk mencukupkan keperluan hidup mereka. Apabila Elsie berbuat demikian, dia mendapati Tuhan membekalkan keperluannya: rakan-rakan dan saudara-mara memberinya buah tangan dan wang, yang membolehkan dia juga memberkati orang lain sebagai balasan.

Semasa Elsie berkongsi kisahnya, saya tahu dia benar-benar mempraktikkan seruan untuk mengasihi satu sama lain dalam 1 Yohanes 4:19: “Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita,” serta kebenaran dalam Kisah Para Rasul 20:35, yang mengingatkan kita bahawa “memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.”

Elsie memberi kerana dia telah menerima dan turut terdorong apabila dia memberi. Namun Elsie bukan hanya memberi apa yang dimilikinya dengan hati yang penyayang, bersyukur dan kesediaan, malah Tuhan melipatgandakan berkat melalui tindakan mulia Elsie yang memberi dan menerima. Marilah kita meminta Tuhan untuk memberi kita hati yang bersyukur dan pemurah, agar kita tahu memberi dengan mentaati pimpinan-Nya!