1) Kejujurannya.
Alkitab sungguh jujur. Alkitab memperlihatkan Yakub, bapa daripada “bangsa terpilih,” sebagai seorang penipu. Alkitab juga menggambarkan Musa, pemberi hukum Taurat, sebagai seorang pemimpin yang ragu-ragu dan keras kepala. Malah dalam usaha pertamanya untuk menolong bangsanya sendiri, dia membunuh seorang lelaki kemudian melarikan diri ke padang gurun. Alkitab bukan hanya menggambarkan Daud sebagai raja yang paling disukai, serta seorang panglima perang dan pemimpin rohani, tetapi dia juga orang yang merampas isteri orang lain. Untuk menutup dosanya, dia berkomplot agar suami perempuan itu dibunuh. Pada suatu ketika, Alkitab pernah menegur bahawa umat Tuhan, bangsa Israel, sebagai bangsa yang sangat jahat sehingga Sodom dan Gomora pun seolah-olah lebih baik jika dibandingkan dengan mereka (Yehezkiel 16:46-52). Alkitab menyatakan bahawa sifat manusia itu menentang Tuhan. Alkitab menubuatkan masa depan yang penuh dengan masalah. Alkitab mengajarkan bahawa jalan ke syurga adalah sempit dan jalan ke neraka adalah luas. Jelaslah, Alkitab tidak ditulis bagi orang yang hanya menginginkan jawapan segera atau pandangan yang optimistik terhadap agama dan sifat manusia.


2) Ketahanannya.
Ketika negara Israel moden bangkit kembali setelah orang Israel tercerai-berai selama ribuan tahun, seorang gembala keturunan Badwi menemukan salah satu harta karun arkeologi yang paling penting pada zaman kini. Dalam sebuah gua di pinggir Laut Mati di sebelah barat laut, sebuah tempayan yang pecah mengandungi dokumen-dokumen yang telah tersembunyi selama dua ribu tahun. Penemuan selanjutnya mendapati naskhah-naskhah yang 1, 000 tahun lebih tua daripada salinan-salinan naskhah paling tua yang ditemukan sebelum ini. Salah satu penemuan yang paling penting adalah salinan kitab Yesaya. Kaandungannya ternyata sama dengan kitab Yesaya yang ada dalam Alkitab kita. Gulungan-gulungan naskhah Laut Mati yang muncul daripada debu bagaikan jabatan tangan yang bersifat simbolik untuk mengucapkan selamat datang kepada bangsa Israel yang baru kembali ke tanah airnya. Gulungan-gulungan itu menyingkirkan pendapat sebahagian orang yang mengatakan bahawa Alkitab yang asli sudah termusnah dan hilang ditelan waktu.


3) Pengakuan Alkitab Sendiri.
Penting sekali untuk mengetahui pengakuan Alkitab sendiri. Jika para penulis Alkitab sendiri tidak pernah mengaku bahawa mereka menyampaikan firman Tuhan, tentunya tindakan ini memandai-mandai jika kita membuat pengakuan itu bagi pihak mereka. Kita juga akan menghadapi masalah yang lain pula. Kita mungkin akan menghadapi sejumlah hal-hal misteri yang tidak dapat diselesaikan, yang terkandung dalam tulisan yang bersejarah dan etika. Kita juga tidak akan mempunyai sebuah buku yang telah mengilhamkan pembinaan gereja dan rumah ibadat Yahudi yang tidak terhitung jumlahnya di seluruh dunia. Alkitab yang tidak mengaku bahawa ia bercakap atas nama Tuhan tentunya tidak akan menjadi asas bagi iman ratusan juta orang Yahudi dan Kristian (2 Petrus 1:16-21). Namun, dengan disokong oleh bukti dan hujah yang banyak, para penulis Alkitab telah mengaku bahawa mereka diilhami oleh Tuhan. Oleh sebab jutaan orang telah mendasarkan kehidupan mereka masa ini dan masa kekekalan pada pengakuan-pengakuan itu, maka Alkitab tidak mungkin sebuah kitab yang baik jika para penulisnya berbohong secara berterusan tentang sumber maklumat mereka.


4) Mukjizatnya.
Keluaran Israel dari Mesir memberikan dasar bersejarah kepada kita untuk mempercayai bahawa Tuhan telah menyatakan diri-Nya kepada Israel. Seandainya Laut Gelagah tidak terbelah sebagaimana yang diceritakan oleh Musa, maka Perjanjian Lama kehilangan kewibawaannya untuk berkata atas nama Tuhan. Demikian pula Perjanjian Baru juga bergantung pada mukjizat. Seandainya Yesus tidak bangkit daripada kematian secara fizikal, maka Rasul Paulus akan mengatakan bahawa iman Kristian didirikan di atas kebohongan (1 Korintus 15:14-17). Untuk menunjukkan kebolehpercayaannya, Perjanjian Baru menyebutkan saksi-saksinya, dan ini dilakukannya dalam rangka waktu yang memungkinkan segala pengakuan itu diuji kebenarannya (1 Korintus 15:1-8). Ramai saksi itu akhirnya mati kerana iman, bukan untuk membela keyakinan moral atau rohani yang abstrak, tetapi untuk membela kesaksian mereka bahawa Yesus telah bangkit daripada kematian. Walapun mati kerana iman bukan hal biasa, namun tetaplah penting untuk menyedari apa yang menyebabkan mereka rela menyerahkan nyawa mereka. Ramai orang rela mati untuk sesuatu yang mereka percaya sebagai kebenaran. Namun tiada orang akan rela mati untuk sesuatu yang mereka tahu sebagai kebohongan.


5) Kesatuannya.
Empat puluh pengarang yang berbeza telah menulis 66 kitab dalam Alkitab yang merangkumi lebih daripada 1,600 tahun. Empat ratus tahun yang senyap telah memisahkan 39 kitab Perjanjian Lama daripada 27 kitab Perjanjian Baru. Namun demikian, daripada kitab Kejadian sampai kitab Wahyu, semua kitab ini menceritakan satu cerita yang utuh. Bersama-sama kitab-kitab ini memberikan jawapan yang konsisten terhadap soalan-soalan terpenting yang dapat kita tanyakan: Mengapa kita di sini? Bagaimana kita dapat mengatasi rasa takut? Bagaimana kita dapat berhasil? Bagaimana kita boleh bangkit daripada keadaan kita yang buruk dan tetap berharapan? Bagaimana kita dapat berdamai dengan Pencipta kita? Jawapan-jawapan Alkitab yang konsisten terhadap pertanyaan-pertanyaan ini menunjukkan bahawa Alkitab bukanlah terdiri daripada banyak buku, melainkan ia satu buku.


6) Ketepatan Dari Segi Sejarah Dan Geografi.
Selama berabad-abad, ramai orang meragui ketepatan Alkitab dari segi sejarah dan geografi. Namun para arkeologi moden telah berulang-ulang menggali dan menemukan bukti mengenai orang, tempat dan kebudayaan yang digambarkan dalam Alkitab. Dari waktu ke waktu, gambaran dalam Alkitab telah dibuktikan sebagai catatan yang lebih dapat dipercayai daripada spekulasi para cendekiawan. Para pelancong masa kini yang mengunjungi muzium dan tempat­-tempat yang dilukiskan di dalam Alkitab sangat kagum akan latar belakang Alkitab dari segi geografi dan sejarah yang benar.


7) Pengesahan Oleh Kristus.
Banyak orang telah mengatakan hal yang baik mengenai Alkitab, tetapi tidak ada yang memberi pengesahan sekuat yang diberikan Yesus dari Nazaret.Dia mengesyorkan Alkitab bukan hanya dengan ucapan-Nya tetapi juga dengan kehidupan­-Nya. Pada saat-saat pencubaan-Nya, pengajaran di hadapan orang banyak, dan penderitaan-Nya, Yesus dengan jelas menunjukkan bahawa Dia mempercayai PerJanjian Lama bukan sahaja kerana ia merupakan tradisi kebangsaan (Matius 4:1-11,5:17-19). Yesus percaya bahawa Alkitab ialah buku tentang Diri-Nya sendiri. Dia berkata kepada orang senegeri-Nya, “Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati” (Yohanes 5:39-40).


8) Nubuat Yang Tepat.
Pada zaman Musa, Alkitab telah meramalkan peristiwa-peristiwa yang tidak seorang pun ingin mempercayainya. Sebelum Israel masuk ke Tanah Perjanjian, Musa meramalkan bahawa Israel akan tidak setia, bahawa Israel akan kehilangan tanah yang diberikan oleh Tuhan, dan bahawa Israel akan tercerai-berai ke seluruh dunia, dikumpulkan kembali, kemudian dibangun kembali (UIangan 28–31 ). Inti dalam ramalan Perjanjian Lama adalah janji tentang Mesias yang akan menyelamatkan umat Tuhan daripada dosa-dosa mereka dan pada akhirnya membawa penghakiman dan kedamaian bagi seluruh dunia.


9) Keberlangsungannya.
Kitab-kitab Musa ditulis 500 tahun sebelum kitab-kitab Hindu yang paling awal. Musa menulis kitab Kejadian 2,000 tahun sebelum Muhammad menulis Quran. Selama masa yang panjang itu, tiada buku yang dikasihi atau dibenci seperti Alkitab. Tiada buku yang secara konsisten telah dibeli, dipelajari dan dipetik seperti Alkitab. Sementara jutaan judul­ buku lain muncul dan pergi, Alkitab tetap merupakan buku yang menjadi ukuran bagi buku-buku lain. Sekalipun sering diabaikan oleh orang yang berasa tidak selesa dengan ajaran-ajarannya, Alkitab tetap merupakan buku utama bagi peradaban Barat.


10) Kuasanya Untuk Mengubah Kehidupan Manusia.
Orang yang tidak percaya sering menunjukkan jari kepada mereka yang berkata bahawa mereka percaya Alkitab tetapi hidupnya tidak berubah. Tetapi sejarah juga ditandai oleh mereka yang kehidupannya menjadi lebih baik kerana buku ini. Sepuluh Hukum Tuhan telah menjadi sumber pengarahan moral bagi orang yang tak terhitung jumlahnya. Mazmur-mazmur Daud telah memberikan kekuatan pada waktu kesusahan dan kehilangan. Khutbah Yesus di Bukit telah menjadi ubat bagi jutaan orang untuk mengatasi kesombongan dan sikap legalisme. Gambaran Paulus mengenai kasih dalam 1 Korintus 13 telah banyak melembutkan hati yang sedang marah. Perubahan hidup daripada orang seperti Rasul Paulus, Agustinus, Martin Luther, John Newton, Leo Tolstoy dan C. S. Lewis menunjukkan perubahan yang dapat dilakukan Alkitab. Bahkan satu bangsa atau suku seperti orang Celt di lreland,Viking yang liar di Norway, atau Indian Auka di Equador telah diubah oleh firman Tuhan dan kehidupan serta karya Yesus Kristus yang tak terbandingkan.