1) Iman Yang Pasti Ada.
Setiap orang mempercayai sesuatu. Tiada sesiapa boleh menanggung tekanan dan keperluan hidup tanpa beriman kepada sesuatu, walaupun iman ini tidak dapat dibuktikan secara nyata. Orang ateis tidak boleh membuktikan ketiadaan Tuhan. Penganut panteisme tidak boleh membuktikan bahawa segala sesuatu itu Tuhan. Penganut pragmatisme tidak boleh membuktikan bahawa rancangan mereka pada hari ini pasti tercapai pada hari esok. Orang agnostik juga tidak dapat membuktikan bahawa kewujudan Tuhan tidak mungkin diketahui. Iman tidak boleh dielakkan, walaupun kita memilih untuk percaya kepada diri kita sendiri sahaja. Perkara yang harus kita putuskan adalah apa bukti yang kita fikirkan paling tepat, bagaimana kita hendak memahami bukti itu, dan siapa atau apa yang kita rela percayai daripada bukti tersebut (Lukas 16:16).


2) Keterbatasan Ilmu Pengetahuan.
Kaedah ilmu pengetahuan terbatas oleh suatu proses yang dapat diukur dan diulangi. Menurut definisi, ilmu pengetahuan tidak boleh menerangkan isu-isu yang berkaitan dengan asal usul, maksud, atau moral kehidupan secara mutlak. Untuk mendapatkan jawapannya, ilmu pengetahuan bergantung kepada nilai-nilai dan kepercayaan peribadi daripada orang yang menggunakan ilmu tersebut. Oleh itu ia ada potensi yang besar untuk membawa kebaikan mahupun kejahatan. Ilmu pengetahuan boleh digunakan untuk membuat ubat penawar atau racun, tenaga nuklear atau senjata nuklear, membersihkan alam sekitar atau mencemarkannya, bahkan boleh memuliakan Tuhan atau melawan-Nya. Ilmu pengetahuan itu sendiri tidak menawarkan apa-apa petunjuk moral atau nilai-nilai untuk mengurus hidup kita. Apa yang dapat dilakukannya adalah menunjukkan cara bekerja hukum alam kepada kita, tetapi ia tidak memberitahu kita apa-apa tentang asal usulnya.


3) Masalah-Masalah Evolusi.
Sebilangan orang menggangap bahawa jika kita menerangkan kehidupan dengan teori evolusi, ini akan membuat Tuhan tidak diperlukan. Namun idea ini tidak mengambil kira beberapa masalah. Biarpun kita menganggap bahawa suatu hari kelak para ahli sains akan menemukan cukup “rantai yang hilang” untuk membuktikan bahawa kehidupan wujud dan berkembang perlahan-lahan dalam jangka waktu yang lama, namun “hukum kemungkinan-kemungkinan” ini menunjukkan bahawa kita masih memerlukan Pencipta. Oleh sebab itu, ramai ahli sains yang percaya kepada teori evolusi juga percaya bahawa alam semesta yang luas dan kompleks tidak wujud “begitu sahaja.” Ramai orang mahu tidak mahu harus mengakui kemungkinan, bahkan kebenaran bahawa seorang pereka yang bijaksana telah menyediakan unsur-unsur kehidupan dan menetapkan semua hukum agar semua unsur itu dapat berkembang.


4) Keinginan-Keinginan Hati.
Umat manusia pada dasarnya adalah makhluk yang beragama. Pada saat-saat mengalami kejutan atau kesusahan mendadak, ketika berdoa atau mengumpat, biasanya seseorang merujuk kepada hal-hal yang ilahi. Mereka yang cuba menganggap fikiran ini sebagai tabiat buruk atau masalah sosial akan menghadapi soalan-soalan yang tidak terjawab. Pemikiran yang menyangkal kewujudan Tuhan tidak akan melenyapkan misteri kehidupan. Walaupun kita cuba menyingkirkan Tuhan daripada kata-kata sehari-hari, ini tidak akan melenyapkan keinginan kita yang berterusan untuk memiliki kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan saat ini (Pengkhubah 3:11). Ada sesuatu tentang kebenaran, keindahan, dan kasih dalam kehidupan yang membuat hati kita berasa pedih. Walaupun pada saat kita marah terhadap Tuhan yang membenarkan ketidakadilan dan kesakitan, suara hati kita tetap mengatakan bahawa kehidupan saat ini tidak berjalan sebagaimana yang sepatutnya (Roma 2:14-15). Walaupun kita tidak rela, namun kita masih tertarik untuk mencari sesuatu yang jauh lebih baik daripada diri kita.


5) Latar Belakang Kitab Kejadian.
Jika anda membaca Alkitab sekilas, kata-kata pmbukaan Alkitab telah mengesahkan kewujudan Tuhan. Sebenarnya, kitab Kejadian telah ditulis pada satu masa yang tertentu dalam sejarah. Musa menulis, “Pada mulanya, ketika Allah…” selepas orang Israel keluar dari Mesir. Dia menulis setelah jutaan orang Israel dan orang Mesir menyaksikan peristiwa-peristiwa mukjizat. Dari masa zaman Keluaran hingga kelahiran Mesias, Tuhan yang disebut di dalam Alkitab telah membuktikan kewujudan-Nya melalui peristiwa yang dapat disaksikan pada masa dan tempat yang nyata. Sesiapa yang mempersoalkan tuntutan ini boleh mengunjungi tempat-tempat itu serta bertanya kepada orang yang menyaksikan bukti itu bagi diri mereka sendiri.


6) Bangsa Israel.
Israel selalu digunakan sebagai bahan pertengkaran untuk melawan Tuhan. Ramai orang menghadapi kesukaran untuk percaya kepada Tuhan yang bersikap pilih kasih terhadap satu “umat terpilih.” Ada lagi orang pula lebih sukar mempercayai Tuhan yang tidak melindungi “bangsa pilihan-Nya” daripada dibunuh secara beramai-ramai di kem maut di Austchwitz dan Dachau, pada zaman pemerintahan Nazi. Namun sejak permulaan sejarah Perjanjian Lama, masa depan Israel telah ditulis lebih dahulu. Seperti nabi-nabi lain, Musa menubuatkan bahawa bukan sahaja Israel akan memiliki tanah perjanjian, tetapi mereka juga akan mengalami penderitaan yang dahsyat sekali, dicerai-beraikan ke seluruh bumi, pertaubatan kepada Tuhan, dan pemulihan mereka pada akhir zaman (Ulangan 28–34; Yesaya 2:1-5; Yehezkiel 37–38).


7) Pengakuan-Pengakuan Tentang Kristus.
Ramai orang yang tidak percaya akan kewujudan Tuhan telah meyakinkan diri mereka dengan pendapat bahawa, “Jika Tuhan ingin kami mempercayai-Nya, Dia akan menampakkan diri kepada kami.” Menurut Alkitab, itulah yang telah dilakukan oleh Tuhan. Pada abad ke-7 sm, Nabi Yesaya menubuatkan bahawa Tuhan akan memberikan tanda kepada umat-Nya. Seorang gadis akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya “Allah berserta kita” (Yesaya 7:14; Matius 1:23). Yesaya mengatakan bahawa Anak ini akan disebut, “Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,” “Raja Damai” (Yes 9:5). Nabi Yesaya juga berkata bahawa Anak ini akan mati kerana dosa umat-Nya sebelum hidup-Nya dihormati dan dimuliakan oleh Tuhan (Yesaya 53). Menurut Perjanjian Baru, Yesus mengakui diri-Nya sebagai Mesias (Penyelamat). Di bawah pemerintahan seorang gabenor kerajaan Roma yang bernama Pontius Pilatus, Dia telah disalibkan kerana dituduh mengaku diri-Nya sebagai raja Israel dan telah menyatakan diri-Nya sebagai setara dengan Tuhan (Yohanes 5:18).


8) Bukti Daripada Mukjizat-Mukjizat
Laporan daripada para pengikut Yesus yang pertama seia sekata bahawa Dia telah melakukan lebih daripada pengakuan-Nya sebagai Mesias yang dinanti-nantikan. Saksi-saksi ini berkata bahawa mereka percaya kepada Dia kerana Dia telah menyembuhkan orang lumpuh, berjalan di atas air, kemudian dengan sukarela menderita hukuman mati yang tidak sepatutnya dijatuhkan ke atasnya, sebelum Dia dibangkitkan daripada kematian (1 Korintus 15:1-8). Yang lebih meyakinkan adalah orang yang mengatakan bahawa ramai saksi yang telah melihat dan bercakap dengan Kristus selepas kubur-Nya ditemukan kosong dan melihat dengan mata kepala sendiri bahawa Dia diangkat ke syurga. Saksi-saksi ini tidak mendapat apa-apa keuntungan hasil daripada pengakuan-pengakuan mereka. Mereka tidak mengharapkan kekayaan harta benda atau kuasa. Bahkan ramai yang mati kerana kepercayaan ini, malah tetap mengakui hingga akhir hayat bahawa Mesias yang dinanti-nantikan oleh Israel itu sudah hidup di kalangan mereka, bahawa Dia telah menjadi korban untuk menebus dosa kita, dan Dia sudah bangkit daripada kematian untuk meyakinkan bahawa Dia dapat membawa orang kepada Tuhan.


9) Butiran-Butiran Dari Alam Semesta
Sebilangan orang yang percaya kepada Tuhan tidak mengambil kewujudan-Nya secara serius. Mereka memberikan alasan bahawa Tuhan yang berkuasa untuk menciptakan alam semesta ini terlalu besar untuk mempedulikan kita semata-mata. Bagaimanapun, Yesus menyatakan kebenaran yang digambarkan oleh bentuk dan butiran dalam alam semesta ini. Dia menunjukkan bahawa Tuhan cukup agung untuk mempedulikan perkara terkecil pun dalam hidup kita. Dia berkata tentang Tuhan yang bukan sahaja mengetahui setiap pergerakan kita, tetapi juga hasrat dan niat hati kita. Yesus mengajarkan bahawa Tuhan mengetahui jumlah rambut di kepala kita, keinginan-keinginan hati kita, bahkan keadaan seekor burung pipit yang jatuh ke tanah (Mazmur 139; Matius 6).


10 Kenyataan Daripada Pengalaman
Alkitab berkata bahawa Tuhan merancang keadaan-keadaan dalam kehidupan kita dengan begitu rupa, sehingga kita terdorong untuk mencari Dia (Kisah Rasul-Rasul 17:26). Bagi mereka yang sungguh-sungguh mencari Dia, Alkitab juga berkata bahawa Dia cukup dekat sehingga boleh dicapai (ayat 27). Menurut rasul Paulus, Tuhan ialah Roh yang di dalam-Nya, kita “hidup dan bergerak dan ada di dunia ini” (ayat 28). Bagaimanapun, Alkitab juga mengajar dengan sangat jelas bahawa kita mesti mencari Tuhan sesuai dengan cara-cara-Nya, bukan menurut kesukaan kita sendiri. Dia berjanji bahawa Dia dapat ditemui, bukan oleh sesiapa sahaja, tetapi oleh orang yang mengakui keperluan mereka dan bersedia untuk mempercayai Tuhan dan bukan percaya kepada diri mereka sendiri.