1. Pelaksanaan Hukuman Mati Di Khalayak Ramai Mengesahkan Kematian-Nya
Sewaktu Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus diheret ke dewan pengadilan Roma oleh gerombolan orang ramai yang marah. Apabila Yesus berdiri di depan Pilatus, gabenor kawasan Yudea, para pemimpin agama menuduh Yesus menyebut diri-Nya sebagai raja orang Yahudi. Orang ramai meminta Dia dihukum mati. Kemudian Yesus dipukul, disebat dan dihukum mati secara terbuka. Di atas sebuah bukit di luar Yerusalem, Yesus disalibkan di tengah dua orang penjenayah. Kawan-kawan-Nya yang hancur hati dan musuh-musuh-Nya yang mengolok-olok, bersama-sama menyaksikan kematian-Nya. Apabila hari Sabat semakin dekat, askar-askar Roma disuruh menyelesaikan hukuman mati. Untuk mempercepatkan hukuman mati, mereka mematahkan kaki kedua-dua orang penjenayah itu. Namun, apabila mereka mendekati Yesus, mereka tidak mematahkan kaki-Nya, kerana menurut pengalaman, mereka tahu Dia sudah mati. Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka menikam rusuk-Nya dengan tombak. Pada saat itu, sudah pasti pertolongan kecemasan pun tidak diperlukan lagi.
2. Ketua-ketua Pengawal Menjaga Tempat Kubur
Keesokan harinya, para pemimpin agama sekali lagi bertemu dengan Pilatus. Mereka mengatakan bahawa Yesus telah meramalkan bahawa Dia akan bangkit dalam masa 3 hari. Untuk memastikan para pengikut-Nya tidak mengada-adakan kebangkitan-Nya, Pilatus memerintah supaya cap rasmi kerajaan Roma dimeteraikan pada kubur itu sebagai amaran kepada pencuri kubur. Untuk menguatkuasakan perintah itu, askar-askar berjaga di situ. Jika pengikut Yesus mahu mendekati jenazah itu, mereka mesti melintasi askar-askar itu dahulu, yang sememangnya tidak mudah. Para askar Roma ada alasan yang baik untuk berjaga sepanjang malam, ini kerana hukuman mati akan dijatuhkan kepada sesiapa yang tertidur semasa bertugas. Tuhan tidak datang semata-mata untuk bertanya khabar kepada umat-Nya, kemudian kembali ke tempat yang lebih baik. Dia tinggal di bumi, malah menempatkan diri sendiri ke dalam suasana, penderitaan dan godaan yang kita hadapi.
3. Walaupun Ada Pengawal, Kubur Itu Didapati Kosong
Pada pagi selepas hari Sabat, beberapa orang pengikut Yesus pergi ke kubur untuk melumurkan jenazah-Nya. Namun, apabila mereka tiba di sana, mereka terkejut dengan apa yang dijumpai mereka. Batu besar
yang menutup lubang kubur itu telah digulingkan, dan jenazah Yesus tiada di situ lagi. Sementara berita itu tersebar, dua daripada pengikut Yesus bergegas ke tempat perkuburan. Kubur itu didapati kosong dan
hanya tertinggal kain kapan yang digunakan untuk membalut jenazah-Nya, kini terletak dengan kemas di tempatnya. Pada masa itu juga, beberapa orang askar pergi ke Yerusalem untuk memberitahu pegawai orang Yahudi bahawa mereka telah pengsan di hadapan makhluk ajaib yang menggulingkan batu penutup kubur. Apabila mereka sedar semula, kubur itu sudah kosong. Para pegawai itu membayar wang yang banyak kepada askar-askar tersebut, maka mereka berbohong dan berkata bahawa para pengikut Yesus yang mencuri jenazah-Nya sewaktu askaraskar tertidur. Mereka juga meyakinkan para askar bahawa jika laporan tentang kehilangan jenazah itu sampai kepada gabenor, mereka akan membela para askar tersebut.
4. Ramai Orang Mengaku Sudah Melihat Dia Hidup
Kira-kira pada 55 TM, Rasul Paulus menulis bahawa Kristus yang sudah bangkit telah disaksikan oleh Petrus, 12 orang rasul, lebih daripada 500 orang (ramai yang masih hidup pada masa dia menulis surat itu), Yakobus, dan Paulus sendiri (1 Korintus 15:5-8). Dengan membuat pengakuan umum, Paulus memberikan kesempatan kepada para pengkritik untuk menyiasat sendiri dakwaannya. Tambahan pula, Perjanjian Baru memulakan sejarah tentang para pengikut Kristus dengan berkata, “Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benarbenar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah” (Kisah Rasul 1:3).
5. Para Rasul Diubah Secara Dramatik
Apabila salah satu daripada rasul yang terdekat dengan Yesus mengkhianati Dia, para rasul yang lain melarikan diri. Begitu juga Petrus, yang pada awalnya telah menegaskan bahawa dia sanggup mati untuk gurunya, tetapi menjadi tawar hati dan menyangkal bahawa dia mengenali Yesus. Namun, rasul-rasul itu telah mengalami satu perubahan yang luar biasa. Dalam beberapa minggu, mereka berdiri bersemuka dengan orang yang telah menyalibkan pemimpin mereka. Semangat mereka kukuh seperti besi. Tiada yang dapat menghalang mereka mengorbankan segalanya untuk Dia yang disebut sebagai Penyelamat dan Tuhan mereka. Walaupun mereka dipenjara, diancam dan dilarang untuk berkata-kata dalam nama Yesus, para rasul berkata kepada para pemimpin Yahudi, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia” (Kisah Rasul 5:29). Selepas mereka dipukul kerana tidak menurut perintah para pemimpin Yahudi, para rasul yang dahulunya penakut “tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah” (Kisah Rasul 5:42).
6. Saksi-Saksi Rela Mati Untuk Pengakuan Mereka
Sejarah penuh dengan orang yang mati sebagai martir, yakni orang yang telah mati kerana kepercayaan mereka. Oleh sebab itu, memang bukan hal luar biasa bahawa para pengikut Yesus yang pertama itu bersedia untuk menderita dan mati bagi iman mereka. Namun hal ini tetap penting kerana ramai orang rela mati untuk perkara yang dipercayai mereka sebagai kebenaran; namun jarang sekali ada yang rela mati untuk perkara yang mereka tahu sebagai pembohongan. Faktor psikologi itu adalah penting kerana para pengikut Kristus tidak mati untuk keyakinan yang mereka pegang kuat yang mungkin sahaja dianggap salah. Mereka mati disebabkan oleh pengakuan bahawa mereka telah menyaksikan Yesus hidup dan dalam keadaan baik setelah kebangkitan-Nya. Mereka mati kerana mengaku bahawa Yesus Kristus bukan sahaja mati kerana dosa mereka, namun Dia juga bangkit daripada kematian untuk menyatakan bahawa Dia tidak seperti pemimpin agama lain yang pernah hidup.
7. Orang Yahudi Yang Percaya Mengubah Hari Ibadah Mereka
Hari rehat dan ibadah yang dinamakan Sabat adalah asas bagi kehidupan orang Yahudi. Orang Yahudi yang tidak menghormati hari Sabat telah melanggar Taurat Musa. Namun orang Yahudi yang mengikut Yesus mula beribadah dengan orang bukan Yahudi pada hari yang baru. Hari pertama setiap minggu, hari yang dipercayai mereka sebagai hari kebangkitan Yesus daripada kematian telah menggantikan hari Sabat. Bagi seorang Yahudi, hal ini menggambarkan satu perubahan hidup yang besar. Hari yang baru, serta upacara pembaptisan orang percaya, mengisytiharkan bahawa mereka yang percaya bahawa Kristus sudah bangkit daripada kematian juga bersedia untuk suatu yang lebih daripada pembaharuan agama Yahudi. Mereka percaya bahawa kematian dan kebangkitan Kristus telah membuka jalan bagi perhubungan yang baru dengan Tuhan. Jalan yang baru itu bukan berasaskan Taurat, tetapi berasaskan penanggungan dosa dan pertolongan yang menghidupkan, diberikan oleh Penyelamat yang sudah dibangkitkan daripada kematian.
8. Walaupun Kebangkitan Tidak Dijangka, Tetapi Sudah Dinubuatkan Dengan Jelas
Para pengikut Yesus terkejut. Mereka menyangka bahawa Mesias akan memulihkan kerajaan Israel. Mereka terlalu ingin mendirikan satu kerajaan politik Mesias, sehingga mereka tidak menjangka peristiwaperistiwa yang harus berlaku bagi penyelamatan jiwa mereka. Mungkin mereka berfikir bahawa Kristus sedang bercakap dalam bahasa simbolik ketika Dia berulang kali mengatakan bahawa Dia perlu pergi ke Yerusalem untuk mati dan dibangkitkan daripada kematian. Namun para rasul gagal mengerti nubuat-nubuat ini sehingga segalanya terjadi. Dalam proses itu, mereka juga tidak memperhatikan apa yang dinubuatkan oleh nabi Yesaya, tentang seorang Hamba yang menderita akan menanggung dosa Israel, serta digiring seperti seekor domba untuk dikorbankan, sebelum Tuhan membuat dia “panjang umur” (Yesaya 53:10).
9. Kemuncak Yang Tepat Bagi Kehidupan Yang Penuh Mukjizat
Ketika Yesus tergantung di atas salib buatan orang Roma, ramai orang mengejek Dia. Dia telah menolong orang lain, tetapi dapatkah Dia menolong diri sendiri? Adakah mukjizat tiba-tiba berakhir? Hal itu seakan-akan pengakhiran yang tidak disangka, bagi seorang yang memulakan kehidupan-Nya di khalayak ramai, yakni mengubah air menjadi wain. Sepanjang 3 tahun pelayanan-Nya, Dia telah berjalan di atas air; menyembuhkan orang sakit; membuat orang buta melihat, orang pekak mendengar dan orang bisu bercakap; Dia juga memulihkan orang lumpuh; mengusir roh jahat; menenangkan ribut taufan dan membangkitkan orang mati. Dia menanyakan soalan yang tidak dapat dijawab oleh para cendekiawan. Dia mengajar kebenaran yang amat mendalam dengan menggunakan kaedah perbandingan yang amat mudah. Dia juga menentang orang munafik dengan kata-kata yang mendedahkan kepalsuan mereka. Jika semua itu benar, adakah kita masih berasa terkejut bahawa musuh-musuh-Nya tidak dapat berkatakata lagi?
10. Kebangkitan Sesuai Dengan Pengalaman Mereka Yang Percaya Kepada-Nya
Rasul Paulus menulis, “Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu” (Roma 8:11). Inilah pengalaman Paulus, yang hatinya diubah secara dramatik oleh Kristus yang telah dibangkitkan. Ini juga adalah pengalaman orang di seluruh dunia yang telah “mati” terhadap hidup lama mereka, supaya Kristus boleh hidup melalui mereka. Kuasa rohani ini tidak ditunjukkan oleh orang yang cuba menambahkan kepercayaan kepada Kristus ke dalam hidup lama mereka. Kuasa ini adalah nyata dalam hidup orang yang rela “mati” terhadap hidup lama untuk memberikan ruang bagi pemerintahan Kristus. Kuasa ini juga hanya nyata dalam hidup orang yang menyambut bukti kebangkitan Kristus yang kukuh, dengan mengakui ketuhanan-Nya di dalam hati mereka. Anda tidak Sendirian Anda tidak sendirian jika anda dengan jujur tidak percaya bahawa Kristus telah bangkit daripada kematian. Namun ingatlah, Yesus berjanji bahawa Tuhan akan menolong orang yang ingin berdamai dengan- Nya. Dia berkata, “Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri” (Yohanes 7:17). Jika anda sungguh-sungguh melihat bahawa kebangkitan Kristus itu masuk akal, ingatlah Alkitab berkata bahawa Kristus mati untuk menanggung akibat dosa kita, dan orang yang percaya dalam hatinya bahawa Tuhan telah membangkitkan Kristus daripada kematian akan diselamatkan (Roma 10:9-10). Penyelamatan yang ditawarkan oleh Kristus bukan berdasarkan usaha manusia, tetapi ini merupakan hadiah bagi semua orang yang percaya kepada-Nya.