1) Anak Dara Mengandung.
Jika Maria bercakap benar, maka bayinya tidak mempunyai bapa manusia. Dia berkata bahawa seorang malaikat menampakkan dirinya dan memberitahu bahawa dia akan mengandung kerana Roh Tuhan. Kemudian malaikat berkata bahawa anak ini, yang dinamakan Yesus, ialah Anak Tuhan. Jika Maria berbohong, maka malam kelahiran Yesus hanya satu malam yang biasa, dan ada cerita lain di sebalik Maria yang mengandung. Namun, bagaimanakah kita boleh tahu? Bagaimanakah kita menganggap serius terhadap jenis cerita ini yang biasanya mendatangkan ketawa kerana tidak percaya? Jawapan terkandung dalam kejadian yang seterusnya. Jika tiada bukti dan saksi, kita boleh sahaja tidak menghiraukan pengakuan Maria. Jika kehidupan anaknya sama dengan orang lain, maka pengakuan Maria tentang anak dara mengandung merupakan cerita yang paling mudah ditolak.


2) Seorang Nabi Perjanjian Lama Menubuatkan Tuhan Yang Menjadi Manusia.
Apa yang kita tahu adalah pada abad ketujuh SM, nabi Yesaya telah mengucapkan nubuat bahawa seorang Hamba Tuhan akan memerintah bumi ini pada akhir zaman. Dia menggambarkan suatu hari kelak segala sesuatu di bumi ini akan hidup dalam kedamaian dan segala bangsa akan pergi ke Yerusalem untuk menyembah Tuhan (Yesaya 2). Yesaya mengumumkan, “Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita! Dia akan menjadi pemimpin kita. Dia akan disebut ‘Penasihat Bijaksana,’ ‘Allah Perkasa,’ ‘Bapa Kekal,’ ‘Raja Damai’” (9:5). Yesaya juga telah memberikan nubuat yang misteri dan hanya sebahagian nubuat ini ditepati ketika dia masih hidup. Dia menulis, “Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel’ ” (7:14). Imanuel bermaksud “Allah menyertai kita.”

3) Malaikat-Malaikat Mengumumkan Kelahiran Yesus.
Ketika beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang di luar Betlehem, sekumpulan orang saksi membentuk jambatan antara pengakuan Yesaya dan Maria. Menurut catatan dalam Perjanjian Baru (Lukas 2:8-14), para gembala Yahudi yang sangat takut telah dilawat oleh malaikat yang mengumumkan kelahiran Mesias yang telah lama dinantikan oleh Israel. Malaikat berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung” (ayat 10-12). Semasa malaikat memberitakan hal ini, langit dipenuhi oleh sepasukan besar malaikat yang memuji Tuhan, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” (ayat 14).

4) Satu Tanda Muncul Di Langit.
Menurut Perjanjian Baru, cahaya di udara telah mengesahkan kebolehpercayaan dalam pengakuan Maria. Sekumpulan ahli kaji bintang dari timur mengikut “tanda yang seperti bintang” dan pergi ke Betlehem, sebuah bandar Yahudi. Di sana mereka menemukan anak yang dipercayai sebagai Mesias yang telah lama dinantikan. Selama berkurun-kurun lamanya, para nabi Perjanjian Lama telah menyebutkan tentang “bintang cemerlang” yang muncul dari Israel (Bilangan 24:17). Perjanjian Lama juga bernubuat tentang seorang pemerintah Israel yang berasal dari Betlehem, penguasa yang “asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba” (Mikha 5:1).

5) Masa Itu Tepat.
Ramai orang percaya bahawa ahli-ahli kaji bintang yang menyembah Yesus selepas kelahiran-Nya datang dari kawasan Babel. Jika demikian, mereka pasti pernah membaca nubuat seorang nabi Yahudi yang bernama Daniel. Ketika dalam pembuangan di Babel 400 tahun sebelum ini, Daniel mempunyai penglihatan yang memungkinkan pengiraan hari-hari kelahiran Mesias Yahudi. Menurut penglihatan Daniel, selain daripada perintah untuk membina semula Rumah Tuhan di (458 SM atau 444 SM), 69 “tujuh” akan disusuli oleh kelahiran dan kematian Mesias (Daniel 7:13-14; 9:24-27). Ada orang percaya bahawa nubuat ini meramalkan hari-hari yang tepat sehingga Yesus masuk ke Yerusalem dengan penuh kemenangan.

6) Yesus Berkata Dia Setara Dengan Tuhan.
Ada orang mencadangkan bahawa Yesus tidak pernah membuktikan diri seperti apa yang diakui oleh para pengikut-Nya. Namun kehebohan yang mengelilingi kehidupan-Nya boleh dijelaskan oleh pengakuan Tuhan yang berulang kali menyatakan bahawa Dia setara dengan Tuhan. Yohanes, salah seorang penulis kitab Injil, memetik kata-kata Yesus, “Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada” (8:58). (Dalam Keluaran 3:14, nama ‘AKU’ digunakan oleh Tuhan untuk menyatakan diri-Nya kepada Musa.) Yohanes juga memetik Yesus yang berkata, “Bapa dan Aku satu” (10:30) dan “Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia” (14:7). Menurut kitab-kitab Injil, Yesus berkata bahawa orang yang mengasihi atau membenci Dia, atau menerima atau menolak Dia, sama dengan mengasihi atau membenci, menerima atau menolak Bapa-Nya di syurga.

7) Kawan-Kawannya Menyembah Dia.
Apabila Tomas, salah seorang pengikut Yesus melihat Kristus yang bangkit daripada kematian, dia menyeru, “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28). Beberapa tahun kemudian, Yohanes, sahabat karib dan pengikut Yesus menulis, “Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia … Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita” (Yohanes 1;1-3,14). Dalam salah satu surat kepada gereja-gereja awal, Petrus, seorang lagi rakan Yesus menyebut para pembacanya sebagai “mereka yang percaya kepada Kristus seperti kami juga. Yesus Kristus, iaitu Allah dan Penyelamat kita memungkinkan kita percaya kepada-Nya, kerana Dia melakukan yang adil” (2 Petrus 1:1).

8) Musuh-Musuh Yesus Menuduh Dia Mengkufuri Tuhan.
Rakan-rakan Yesus mungkin mahu percaya bahawa Dia bukan lelaki biasa, namun ini tidak begitu halnya bagi musuh-musuh-Nya. Para ketua agama Israel berasa sungguh marah ketika memikirkan lelaki yang sama menuduh mereka munafik, seperti pemimpin buta memimpin orang buta, juga mengaku bahawa Dia mengampunkan dosa, berkata bahawa Tuhan itu Bapa-Nya, bahkan berkata Dia dan Tuhan satu. Banyak kali para ketua Israel mengambil batu untuk merejam Yesus dan berkata, “Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!” (Yohanes 10:33).

9) Mukjizat-Mukjizat Yesus Menyokong Pengakuan-Nya.
Mukjizat-mukjizat Yesus yang dicatatkan dalam Perjanjian Baru bukan semata-mata perbuatan yang ajaib. Semua ini merupakan tanda. Dia melakukannya untuk mendorong kaum lelaki dan perempuan percaya kepada Dia untuk hidup yang kekal. Dia menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh untuk mengesahkan kuasa-Nya yang mengampunkan dosa. Dia memberi makan kepada beribu-ribu orang dengan makanan tengah hari seorang anak lelaki, menjadikan asas bagi pengakuan-Nya sebagai “roti yang memberikan hidup.” Dia berjalan di atas air, meneduhkan laut yang bergelora, mengubati orang yang sakit, menyembuhkan tubuh yang lumpuh, memulihkan penglihatan orang buta dan pendengaran orang bisu, malah membangkitkan lelaki yang bernama Lazarus daripada kematian. Alasan bagi Yesus melakukan mukjizat adalah untuk menyokong pengakuan-Nya sebagai Tuhan. Rasul Yohanes menulis, “Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini. Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati” (Yohanes 20:30-31).

10) Keberangkatan Yesus Lebih Hebat Daripada Kedatangan-Nya.
Sepanjang sejarah, ramai orang mengaku diri sendiri sebagai tuhan. Namun hanya ada satu Peribadi yang rela mati kerana dosa orang lain. Hanya satu yang bangkit daripada kematian untuk membuktikan Dia ialah Anak Tuhan. Menurut Perjanjian Baru, selepas Yesus dengan rela mengorbankan diri-Nya di atas salib yang kejam, Dia menampakkan diri kepada para pengikut-Nya yang paling rapat dengan-Nya dan lebih daripada 500 orang pengikut-Nya yang lain selama 40 hari (1 Korintus 15:5-8). Para saksi begitu yakin tentang kebangkitan-Nya sehingga mereka sanggup menderita dan mati bagi kesaksian mereka. Para pengikut-Nya berkata Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya yang dipaku, berjalan dan bercakap dengan mereka, bahkan makan bersama mereka. Kemudian ketika mereka berjumpa Dia di Bukit Zaitun, Dia memberi mereka kata-kata terakhir dan diangkat ke syurga. Dengan keberangkatan-Nya ke syurga yang lebih hebat daripada kedatangan-Nya, Yesus memberi kita pemahaman yang lebih baik tentang pengumuman malaikat yang berkata, “Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:11).