Kisah kami bukan “Tentang Kami”
Pada tahun 1938, Dr. M. R. DeHaan memulakan satu program radio yang dipanggil Detroit Bible Class. Sejak itu, pendengar kami telah bertumbuh daripada sekumpulan kecil pendengar radio kepada berjuta-juta orang yang menggunakan bahan-bahan kami yang berdasarkan Alkitab.

Selama beberapa tahun, nama kami telah ditukar agar menunjukkan kepelbagaian bahan yang kami hasilkan. Pada hari ini, kami sedar bahawa kebanyakan orang mengenal kami melalui bahan renungan yang disambut baik, yakni Our Daily Bread. Oleh itu, kami menukarkan nama kami kepada Our Daily Bread Ministries, supaya boleh memperkenalkan siapa kami dengan lebih jelas. Walaupun nama kami telah berubah, namun fokus kami tetap sama: menjangkau orang di seluruh dunia ini dengan berita tentang kasih Tuhan.

Kami adalah organisasi tanpa denominasi gereja dan tidak membuat untung, dengan staf dan sukarelawan di lebih 35 pejabat, yang bekerjasama untuk mengedarkan lebih daripada 60 juta bahan kepada 150 negara. Sama ada bahan-bahan diperkenalkan melalui penyiaran radio atau televisyen, DVD, podcast, buku, aplikasi telefon pintar, atau laman web, kami membekalkan bahan-bahan untuk membantu orang lain bertumbuh dalam perhubungan mereka dengan Tuhan.

Kisah itu tentang kesetiaan Tuhan, dan anda.

Selama lebih daripada 75 tahun, kami telah menyaksikan kesetiaan Tuhan dalam misi Our Daily Bread Ministries. Kami juga tahu bahawa hanya dengan sokongan daripada anda, keluarga anda, rakan-rakan anda, dan gereja anda, kami boleh berkongsi Berita Baik tentang kasih, belas kasihan dan pengampunan Tuhan ke seluruh dunia.

TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya (Mazmur 100:5).

Sejarah Kami
Pelayanan ini bermula pada tahun 1938 dengan sebuah program radio yang dipanggil Detroit Bible Class. Dengan suaranya yang garau, Dr. M. R. DeHaan dengan segera menarik perhatian para pendengar di kawasan Detroit, dan akhirnya di seluruh negara.

Sejak itu, kami berasa kagum akan perbuatan Tuhan.

 

Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami,

ya TUHAN, Allahku, Engkau tidak ada bandingnya!

Engkau telah membuat banyak rancangan yang baik untuk kami,

tidak mungkin aku dapat menceritakan segala-galanya (Mazmur 40:5).

 

Peristiwa-Peristiwa Penting:

  • 1938 –Detroit Bible Class memulakan program radio yang pertama.
  • 1941 – Nama program tersebut ditukar kepada Radio Bible Class apabila ia berkembang ke Grand Rapids, Michigan.
  • 1956 – Bahan renungan Our Daily Bread mula diterbitkan. Hari ini buku ini diterjemahkan dalam lebih daripada 50 bahasa dan lebih daripada 30 juta edisi diedarkan di seluruh dunia. Versi bahasa Malaysia berjudul Pedoman Harian.
  • 1959 – Pejabat pertama di luar Amerika Syarikat beroperasi di Windsor, Ontario, Canada.
  • 1965 – Program Radio Bible Class disiarkan kepada 600 buah stesen di seluruh dunia.
  • 1968 – Sebuah program televisyen mingguan, Day of Discovery mula meninjau topik-topik iman. Ia telah menjadi salah satu siaran program yang paling lama dalam sejarah televisyen.
  • 1988 – Discovery House Publishers, badan penerbitan tanpa membuat untung, menjadi pengembangan pelayanan ini dan memperoleh hak untuk menerbitkan bahan-bahan renungan tulisan Oswalds Chambers yang terkenal, My Utmost for His Highest.
  • 1994 – Radio Bible Class menukar namanya kepada RBC Ministries untuk menunjukkan kepelbagaian perkhidmatan yang diberikan di seluruh dunia.
  • 1995 – Pelancaran tapak web untuk memberikan bahan-bahan dalam talian kepada orang di seluruh dunia.
  • 2002 – Our Daily Bread pergi ke angkasa lepas dengan menaiki pesawat angkasa lepas Amerika Syarikat yang bernama Atlantis.
  • 2011 – Aplikasi telefon pintar Our Daily Bread dilancarkan dan dimuat turun oleh lebih daripada 1 juta orang, malah ia tersedia dalam banyak bahasa.
  • 2014 – Our Daily Bread menjangkau lebih daripada 1 juta peminat di Facebook
  • 2015 – RBC Ministries menukar namanya kepada Our Daily Bread Ministries.

 

Pengasas Kami

 “Selamatkanlah aku dan aku akan melayani-Mu.”

Dr. M. R. DeHaan ialah seorang doktor sewaktu dia menyerukan kata-kata tersebut kepada Tuhan ketika dia menderita kesan sampingan yang teruk daripada penyuntikan sehingga dia dalam keadaan yang kritikal. Tuhan menjawab doa itu, dan Dr. DeHaan juga memegang janjinya. Satu tahun kemudian, dia menjual klinik perubatannya, peralatan rumah dan pejabatnya untuk menghadiri Western Theological Seminary di Holland, Michigan.

Dia bermula sebagai pastor, kemudian mengajar kelas-kelas Alkitab dan menyiarkan program sepanjang setengah jam di radio. Kemudian program-program ini dimasukkan dalam rangkaian kebangsaan dan ketika dia meninggal dunia pada tahun 1965, siaran radio ini boleh kedengaran melalui lebih 600 stesen radio di seluruh dunia.

Dr DeHaan memulakan pelayanan ini di tingkat bawah tanah sebagai operasi keluarga, dan visi serta prinsip-prinsip asas ini terus diturunkan kepada generasi-generasi seterusnya. Anak lelaki Dr. DeHaan, Richard meneruskan pelayanan ini, seterusnya dipimpin oleh cucu-cucu lelakinya, iaitu Mart dan Rick, yang juga berusaha mengembangkan pelayanan ODB Ministries sehingga hari ini.