1) Kebebasan Memilih Dapat Mengakibatkan Penderitaan.
Ibu bapa yang mengasihi anak-anak mereka ingin melindungi mereka daripada kesakitan. Tetapi ibu bapa yang bijak tahu bahayanya jika mereka memberikan perlindungan yang berlebihan. Mereka tahu bahawa kebebasan memilih adalah sifat asas kemanusiaan kita, dan dunia tanpa pilihan adalah lebih teruk daripada dunia yang tiada kesakitan. Lebih teruk lagi keadaan dunia yang diduduki oleh yang tidak berasa apa-apa kesakitan walaupun membuat pilihan yang salah. Tiada yang lebih berbahaya daripada pendusta, pencuri atau pembunuh yang tidak berasa apa-apa kesakitan yang dilakukannya terhadap dirinya sendiri dan orang lain (Kejadian 2:15-17).


2) Kesakitan Boleh Memberi Kita Amaran Tentang Bahaya.
Kita membenci kesakitan, terutamanya yang menimpa orang yang kita kasihi. Namun tanpa ketidakselesaan, yang sakit tidak akan berjumpa doktor. Tubuh yang penat tidak akan dapat berehat. Penjenayah tidak akan takut terhadap undang-undang. Anak-anak akan mentertawakan nasihat. Tanpa suara hati nurani yang memberikan kesedaran, tiada perasaan tidak puas kerana kebosanan hidup seharian, maka manusia yang diciptakan tidak akan merindukan kepuasan yang seharusnya ditemukan dalam Bapa yang kekal. Contohnya Salomo, apabila dia digoda oleh hawa nafsu lalu mendapat pelajaran melalui penderitaan, hal itu menyatakan kepada kita bahawa orang yang paling bijak pun boleh menjauhkan diri daripada hal yang baik dan daripada Allah, sehinggalah dia disedarkan oleh penderitaan yang disebabkan oleh pilihan-pilihannya yang salah, yang tidak berpandangan jauh (Pengkhutbah 1–12; Mazmur 78:34-35; Roma 3:10-18).


3) Penderitaan Mendedahkan Isi Hati Kita.
Penderitaan sering kali diakibatkan oleh orang lain. Tetapi penderitaan dapat mendedahkan isi hati kita. Keupayaan untuk mengasihi, berbelas kasihan, marah, iri hati, dan kesombongan akan terpendam sehinggalah dibangkitkan oleh suatu keadaan. Kekuatan dan kelemahan hati tidak diketahui semasa semuanya berjalan lancar, tetapi sewaktu api penderitaan dan pencubaan menguji kekuatan keperibadian kita. Seperti mana emas dan perak dimurnikan oleh api, dan sebagaimana arang memerlukan masa dan tekanan untuk menjadi berlian, maka hati manusia didedahkan dan dibentuk oleh pengalaman yang menahan tekanan dalam masa serta keadaan yang mendesak. Kekuatan keperibadian dibuktikan, bukan sewaktu semuanya dalam keadaan baik, tetapi semasa dalam kesakitan dan penderitaan (Ayub 42:1-17; Roma 5:3-5; Yakobus 1:2-5; 1 Petrus 1:6-8).


4) Penderitaan Membawa Kita Ke Ambang Kekekalan.
Jika kematian adalah pengakhiran segala-galanya, maka kehidupan yang penuh penderitaan adalah tidak adil. Tetapi jika akhir hidup ini membawa kita ke ambang kekekalan, maka orang yang paling bertuah di dunia ialah orang yang menemukan, bahawa melalui penderitaan, hidup sekarang ini bukanlah pengakhiran bagi segala-galanya. Pengalaman orang yang menemui jati diri dan Tuhan yang kekal melalui penderitaan adalah tidak sia-sia. Mereka telah membenarkan kemiskinan, kesedihan, dan kelaparan mendekatkan mereka dengan Tuhan yang abadi. Mereka akan mengalami sukacita yang berkekekalan kerana mereka mengerti sebabnya Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! (Matius 5:1-12; Roma 8:18-19).


5) Penderitaan Melepaskan Genggaman Kita Akan Hidup Ini.
Dengan berlalunya masa, pekerjaan dan pemikiran kita akan semakin berkurangan. Tubuh kita akan bertambah lemah. Lama-kelamaan, tubuh kita akan menyerah kepada kebinasaan. Sendi-sendi menjadi kaku dan sakit. Penglihatan menjadi kabur. Pencernaan menjadi lambat. Tidur pun menjadi sukar. Masalah akan bertambah besar sementara pilihan penyelesaian semakin sedikit. Namun, jika kematian bukan pengakhiran tetapi suatu ambang hari yang baru, maka kutukan hari tua adalah juga berkat. Setiap penderitaan yang baru akan membuat dunia ini kurang menarik dan membuat kehidupan yang akan datang lebih menarik. Dengan caranya sendiri, penderitaan akan membuka jalan untuk kita meninggalkan dunia dengan lebih aman. (Pengkhutbah 12:1-14).


6) Penderitaan Memberi Kita Peluang Untuk Mempercayai Tuhan
Orang yang paling terkenal dengan penderitaannya ialah Ayub. Menurut Alkitab, Ayub kehilangan keluarganya kerana angin ribut, harta bendanya termusnah dalam taufan dan api,dan kesihatannya dirosakkan oleh penyakit kulit yang menyakitkan. Walaupun dia melalui semuanya, Tuhan tidak pernah memberitahu Ayub sebabnya semua itu terjadi. Sementara Ayub bersabar mendengar tuduhan kawan-kawannya, syurga tetap berdiam. Apabila akhirnya Tuhan berfirman, Dia tidak menyatakan bahawa lblis, musuh besar-Nya telah mencabar keikhlasan Ayub untuk melayani Tuhan. Dia juga tidak meminta maaf kerana membenarkan lblis menguji ketaatan Ayub terhadap Tuhan.
Sebaliknya, Tuhan berkata-kata tentang kambing gunung yang melahirkan anak, anak singa yang sedang memburu, dan burung di dalam sarang. Dia menceritakan tabiat burung unta, kekuatan lembu jantan, dan kuda yang berlari pantas. Dia menceritakan keindahan alam semesta, keajaiban lautan, dan kitaran musim. Ayub diharap dapat membuat kesimpulan bahawa jika Tuhan mempunyai kuasa dan hikmat untuk menciptakan alam semesta ini, maka Tuhan yang sama dapat dipercayai pada masa-masa penderitaan (Ayub 1–42).


7) Tuhan Menderita Bersama-sama Kita Yang Menderita
Tiada seorang pun pernah menderita seperti Bapa kita yang di syurga. Tiada seorang pun yang pernah membayar harga dosa dunia yang lebih tinggi daripada Dia. Tiada seorang pun terus-menerus bersedih kerana umat manusia menjadi semakin jahat. Tiada seorang pun pernah menderita seperti Dia yang telah membayar harga dosa kita dalam tubuh Anak tunggal-Nya yang disalibkan. Tiada seorang pun telah menanggung kesakitan yang lebih berat daripada Dia, yang telah membentangkan kedua-dua tangan-Nya dan mati, membuktikan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita. Inilah Tuhan yang menarik kita kepada diri-Nya, yang memanggil kita mempercayai Dia semasa kita menderita dan apabila orang yang kita kasihi menyeru untuk meminta pertolongan di hadapan kita (1 Petrus 2:21; 3:18; 4:1).


8) Penghiburan Tuhan Lebih Besar Daripada Penderitaan Kita.
Rasul Paulus berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Tuhan supaya Dia menyingkirkan sumber penderitaannya yang tidak jelas. Tetapi Tuhan menolak permintaan ini dengan berkata, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu, Paulus berkata, “aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku. Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus (2 Korintus 12:9-10). Paulus mempelajari bahawa adalah lebih baik bersama-sama Kristus dalam penderitaan daripada hidup dalam kesihatan yang baik dan keadaan yang menyenangkan tanpa Kristus.


9) Semasa Krisis, Kita Saling Mendekatkan Satu Sama Lain.
Tiada seorang pun yang ingin memilih untuk mengalami kesakitan dan penderitaan. Namun apabila tiada pilihan lain, kita masih mempunyai penghiburan. Bencana alam serta masa krisis membuka kesempatan untuk mengumpulkan kita. Taufan, kebakaran, gempa bumi, rusuhan, penyakit, dan kemalangan, semuanya dapat menyedari kita. Tiba-tiba kita teringat akan kefanaan diri kita dan bahawa manusia lebih penting daripada benda. Kita teringat bahawa kita memang memerlukan satu sama lain, dan yang penting sekali, kita semua memerlukan Tuhan.

Setiap kali kita menemukan penghiburan Tuhan dalam penderitaan kita, kemampuan kita untuk menolong orang lain juga bertambah. lnilah yang difikirkan oleh Rasul Paulus sewaktu dia menulis, “Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita. Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan” (2 Korintus 1:3-4).


10) Tuhan Boleh Mengubah Penderitaan Menjadi Kebaikan Kita.
Kebenaran ini dapat kita lihat dengan jelas melalui contoh-contoh dalam Alkitab. Melalui penderitaan Ayub, kita melihat seorang yang bukan sahaja mendapat pengertian yang lebih mendalam tentang Tuhan, tetapi dia juga menjadi dorongan bagi semua generasi yang seterusnya. Melalui penolakan, pembelotan, perhambaan, dan pengurungan dalam penjara secara tidak adil, yang terjadi ke atas seorang yang bernama Yusuf, kita menyaksikan seorang yang akhirnya dapat berkata kepada orang yang telah melukainya, “Kamu sudah bermuafakat untuk melakukan kejahatan kepadaku, tetapi Allah mengubah kejahatan itu menjadi kebaikan, supaya banyak orang dapat diselamatkan seperti yang terbukti sekarang” (Kejadian 50:20).

Apabila segala sesuatu di dalam diri kita hendak menjerit ke syurga kerana Tuhan mengizinkan penderitaan, kita sepatutnya memandang kepada Yesus, walaupun berseru dalam penderitaan dari kayu salib, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46), namun akhirnya mendatangkan hidup dan sukacita yang kekal.