3 janji untuk menolong anda menempuh hari ini



Bagaimana anda dapat terus bertahan dalam menempuh hari-hari yang banyak pencubaan? Terutamanya pada masa sekarang, pandemik Covid-19 menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, sumber pendapatan dan banyak lagi. Mungkin janji-janji yang ditabur oleh kerajaan, rakan-rakan dan orang di sekeliling kita sedikit sebanyak memberi kita semangat untuk terus menempuh hari ini. Namun ia hanya bersifat sementara dan membuat kita berasa “bagus” seketika.



Janji Tuhan bukan hanya memberi kita semangat untuk terus berjalan tetapi ia adalah kekal dan memberi kita harapan yang pasti kerana harapan kita terletak pada Yesus: sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman (Ibrani 6:18-19). Walaupun di tengah-tengah kekacauan, ketidakpastian, dan pencubaan dalam situasi kita sekarang, terdapat tiga janji yang dapat kita pegang dengan erat—sedikit gambaran tentang bagaimana mencari harapan dalam situasi yang sukar:





1) Rahmat Tuhan terhadap anda tidak pernah berkesudahan



'Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan; selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia! (Ratapan 3:22-23)



Janji Tuhan ini memberi kita harapan dalam menempuhi musim yang sukar. Sukacita akan timbul dari hati anda apabila anda benar-benar bersyukur dan merenungkan rahmat Tuhan yang tidak pernah berkesudahan. Jangan izinkan berita-berita tentang kekacauan menguasai pemikiran kita tetapi sebaliknya mengizinkan Tuhan berkuasa dalam hidup kita dengan belas kasihan-Nya.



Tempuhi hari ini dengan didorong oleh kasih dan rahmat Tuhan yang baru setiap pagi, menyedari bahawa kita diberkati lebih daripada sekadar kesembuhan fizikal, berkat kewangan dan segala sesuatu yang bersifat sementara. Kepuasan hati kita tidak bergantung pada berkat sementara tetapi bergantung pada rahmat Tuhan yang tidak pernah berakhir: rahmat penyelamatan Tuhan melalui pekerjaan Yesus Kristus (2 Timotius 1: 9-10).



Seperti matahari terbit setiap hari, kita dapat yakin bahawa rahmat-Nya tidak akan berkesudahan. Setiap hari merupakan pemberian Tuhan kepada kita dan sangat patut untuk berkata “terima kasih Tuhan untuk nafas dan hari yang baru.” Mari mengambil masa setiap hari untuk bersyukur atas perkara-perkara kecil yang Dia berikan kepada kita seperti menikmati udara, sinaran mentari dan tiupan angin sepoi-sepoi. Jika anda berpegang teguh pada janji ini, anda pasti akan mendapat kekuatan baru.





2) Rancangan Tuhan untuk hidup anda sentiasa yang terbaik



Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. (Roma 8:28).



Kita mungkin sudah membuat rancangan untuk perayaan Krismas atau untuk tahun depan. Atau sudah banyak rancangan anda yang sudah terbatal kerana penularan Covid-19. Anda berasa kecewa dan berharap rancangan anda untuk masa terdekat ini akan benar-benar terlaksana. Namun, tidak semua yang kita inginkan berjalan lancar seperti yang kita rancangkan.



Tuhan menginginkan kesejahteraan anda dan bekerja untuk pembaharuan, pemulihan dan kesembuhan rohani anda setiap hari. Selain memberkati kita dengan perlaksanaan rancangan-rancangan kita, Dia mahu kita belajar untuk mempercayai Dia sepenuhnya dan mentaati Dia walau apapun keadaan yang kita alami. Tidak semua perkara yang kita alami setiap hari adalah baik, tetapi Tuhan dapat menggunakannya untuk kebaikan bagi orang-orang yang mengasihi Dia dan kemuliaan nama-Nya.



Sebagai orang percaya, kita tidak patut berputus asa dalam menghadapi hari-hari yang sukar kerana kita mengetahui bahawa Tuhan sedang bekerja (Roma 8:28) dan rancangan-Nya itu sempurna: menjadikan kita serupa dengan gambaran Anak-Nya, Yesus Kristus (Roma 8:29).





3) Tuhan tidak akan membiarkan anda berjalan sendirian



TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas. (Ulangan 31:8)



Anda mungkin berfikir bahawa anda sendirian dalam menempuhi perjalanan hidup yang sukar. Anda bekerja jauh daripada ahli keluarga dan kawan-kawan anda. Anda tinggal sendirian untuk tempoh yang lama dan berasa bahawa tiada seorang pun yang memahami keadaan anda. Hal ini berlaku mungkin antara sebabnya, anda tidak terbuka untuk menerima pertolongan orang lain atau anda lupa bersyukur kepada “pelayanan” orang yang anda terima.



Tuhan memakai seseorang untuk berjalan bersama dengan anda seperti sokongan doa, kata-kata semangat, bantuan kewangan, keperluan harian dan sebagainya (Ibrani 13:1-2). Janji Tuhan untuk menyertai anda bukan bermaksud bahawa anda akan terlepas daripada bebanan hidup, tetapi penyertaan-Nya mungkin berbentuk kekuatan dan orang-orang di sekeliling anda. Jika anda menyedari akan hal ini, walaupun dalam pergelutan yang berat dan tidak terkatakan, anda akan sentiasa tahu bahawa penyertaan Tuhan itu nyata. Berpeganglah pada janji ini dan bersyukurlah atas doa-doa, sedikit makanan dan wang, kata-kata dorongan, panggilan telefon dan WhatsApp yang anda terima daripada seseorang.



Semasa anda menempuh hari ini, esok dan seterusnya, ingatlah akan tiga janji Tuhan ini. Terus percaya kepada janji Tuhan walaupun keadaan tidak berjalan seperti yang diinginkan atau diharapkan, dan tidak dijawab seperti yang didoakan. Covid-19 membawa banyak perubahan yang tidak menyenangkan, tetapi Yesus Kristus tidak pernah berubah, Dia tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya (Ibrani 13:8) dan janji-Nya tidak pernah gagal.




Artikel ini adalah terbitan asal YMI, sebuah pelayanan muda mudi dari Our Daily Bread Ministries dalam bahasa Inggeris. Diterjemah dan diterbitkan dengan kebenaran.



Membaca Selanjutnya