Baca: Yeremia 29:7“Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.”

 

Cuba tanyalah sesiapa tentang masalah-masalah di negara kita, anda akan dapat senarai keluhan yang panjang, baik dari segi ekonomi, pendidikan anak-anak kita, hubungan kaum, dan status kita dalam arena antarabangsa. Sekiranya saya memulakan topik-topik ini dengan kawan-kawan saya, perbualan kita pastinya tidak habis-habis.

 

Apa-apa masalah yang mungkin dihadapi oleh sesebuah negara, sudah terjadi di negara kita.

 

Kelihatannya masalah telah terjadi di negara kita

Komplot-komplot politik yang kita biasa membaca di media sosial bukan lagi hanya “sembang-sembang kopitiam”, tetapi membawa kesan yang besar ke atas kehidupan harian kita disebabkan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa, bahkan keputusan yang tidak dibuat mereka. Di tambah lagi masalah pandemik Covid-19 yang masih sukar dibendung.

 

Peranan Penting

Justeru itu, tidak hairanlah ramai orang muda di kawasan pedalaman mula berpindah ke kota untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik kerana dasar ekonomi negara yang tidak setara. Ada ramai ibu bapa juga menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di universiti. Bahkan mereka dipesan untuk tetap tinggal di situ dan membina kerjaya di luar negara. Anda boleh membayangkan Malaysia secara beransur-ansur sedang kehilangan ramai golongan muda atau intelektual.

 

Fenomena seperti ini juga meninggalkan impak yang besar ke atas gereja di Malaysia. Bagi para pastor, pelayanan yang menjaga dan menggembala jemaah tua semakin diperlukan. Bagi para pemimpin gereja, mereka kekurangan kaum lelaki dan perempuan untuk mewarisi kepimpinan di gereja.

 

Orang Kristian Berperanan Unik dalam Krisis Negara Sekarang

Malaysia kini menghadapi masalah besar dan kerajaan menjadi sasaran utama yang menerima banyak komen, kritikan bahkan kutukan yang pedas. Walau bagaimanapun, saya akan memberikan komen yang optimistik dan mungkin kelihatan naif bagi sesetengah orang, yakni kita sebagai orang Kristian berperanan unik dalam krisis negara ini.

 

Berikutlah yang kita boleh lakukan:

 

  1. Berdoalah dan berpuasa untuk semua pemimpin negara dan pihak berkuasa. Paulus memberikan nasihat ini kepada Timotius supaya “kita boleh hidup dengan aman dan tenteram”, serta menjalani hidup yang salih dan suci (1 Timotius 2:1-3). Seterusnya dalam ayat 5-6, Paulus mengisytiharkan Kristus sebagai Pengantara bagi Tuhan dan umat manusia. Jadi saudara dan saudari seiman, marilah kita mempraktikkan kebiasaan ini—berdoa untuk kebaikan negara ini dan menyebarkan Berita Baik.
  2. Permohonan doa tanpa percaya kepada kasih dan kesetiaan Tuhan adalah sia-sia
  3. Melibatkan diri dalam pembangunan negara. Ramai orang muda kini melibatkan diri dalam politik secara aktif, dan terus-menerus membawa perubahan dalam pembangunan negara ini. Misalnya, tokoh terkenal ialah YB Hannah Yeoh, wanita pertama yang menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri. Sebagai orang Kristian, Hannah Yeoh dianggap sebagai teladan yang telah memberi inspirasi kepada ramai orang untuk melibatkan diri dalam politik, serta bertanding dalam pilihan raya untuk melayani negara ini.
  4. Berbelas kasihan. Ramai orang Kristian melayani di persatuan sosial atau organisasi-organisasi bukan kerajaan tanpa menonjolkan diri. Mereka memberi makan dan menyediakan tempat tinggal kepada golongan yang miskin, mempedulikan persekitaran dan menegakkan keadilan bagi komuniti orang asing, mahupun orang yang dihina dan kurang upaya. Golongan ini layak dihargai dan disanjung tinggi, dan perbuatan-perbuatan mereka patut kita teladani.

>>Baca: Respons orang Kristian terhadap kerajaan (Siri Bimbingan)

Bagaimanapun, kita semua anak Malaysia.

Setiap kali apabila penerbangan saya mendarat di kapal terbang KLIA, bulu roma saya akan meremang apabila pengumuman ini kedengaran daripada pembesar suara, “ … kepada semua anak Malaysia, ‘Selamat pulang ke tanah air’ ”. Walaupun saya juga bangga sebab kewarganegaraan saya adalah di syurga (Filipi 3:20), saya masih mencintai Malaysia dan sinilah rumah saya. Walaupun ada orang dalam kalangan kita mungkin bergelut dengan ketidakadilan, demi mentaati firman Tuhan, marilah kita terus berdoa dan memprihatinkan negara ini.

 


Artikel ini adalah terbitan asal Our Daily Bread Ministries bahasa Inggeris https://ourdailybread.org/3-things-christians-can-do-when-malaysia-is-in-pain/. Diterjemah dan diterbitkan dengan kebenaran.
 

 

read_more