5 ayat Alkitab untuk membantu anda melalui Norma Baru
Beberapa bulan yang lalu, jadual, tabiat, dan rentak hidup kita berubah dengan ketara. Kita mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan “norma baru,” tetapi kita telah melakukan perkara yang perlu, dan mengikuti rentak baru. Kini, ramai antara kita sudah menyesuaikan diri dengan banyak perkara, namun peralihan akan berlaku lagi pada masa akan datang.
Bagi sesetengah orang, norma baru akan memberi tekanan, bahkan menimbulkan perasaan yang gelisah, terasing dan traumatik. Sangat memenatkan untuk memikirkannya. Tetapi terdapat lima ayat Alkitab yang dapat membantu kita bersedia untuk menghadapi “norma baru” yang lain.
1) Efesus 4:2 - Sebarkan Berkat yang Sama Anda Terima
Dalam Efesus 4:2 kita membaca, “Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu.” Apabila menghadapi peralihan, mari memohon kekuatan daripada Tuhan untuk bersabar dengan diri sendiri dan orang lain, mengingati bahawa Dia adalah sumber kesabaran. Dalam kerendahan hati, mari mengakui bahawa keadaan sangat sukar, dan mencari jalan untuk melayani dan mendorong orang lain untuk membantu memudahkan proses peralihan bagi mereka.
Kita boleh mengingati rahmat Tuhan yang lembut ketika kita terbangun lewat atau terlupa kiraan hari kerana jadual kita sekali lagi tidak berfungsi. Kita juga harus bersikap lembut terhadap orang yang kita kasihi ketika emosi menguasai diri mereka.
2) Mikha 6:8 - Melakukan Apa yang Dituntut Tuhan
Mikha 6:8 berkata, “Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Allah kita.” Sebelum dan selepas penularan koronavirus, rancangan Tuhan untuk kita tidak berubah…bahkan juga terhadap orang yang benar-benar terkesan. Kita masih dipanggil untuk berlaku adil, dan melindungi yang tidak berdaya—terutamanya yang terdedah kepada COVID-19.
Tuhan masih mahu kita memiliki sifat pendamai dan hati yang prihatin, terutamanya terhadap orang yang sedang bergelut. Dia masih menginginkan kita berjalan bersama-Nya dengan rendah hati, jujur terhadap kelemahan kita, dan setia dalam setiap kehendak-Nya kepada kita setiap hari. Tujuan utama kita sebelum dan selepas pandemik tetap sama—mendengar suara Yesus dan taat ketika Dia berkata, “ikutlah Aku”
3) Filipi 4:9 - Bawa yang Baik Bersama Anda
Filipi 4:9 berkata “Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku...” Paulus merujuk kepada perkara “yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat” (ayat 8)—perkara-perkara yang baik untuk fikiran, hati, tubuh, dan jiwa.
Kesemua kita boleh memulakan beberapa kebiasaan yang baik. Mungkin kehidupan kita tidak sesibuk seperti sebelumnya. Atau kita akhirnya melakukan rutin doa yang baik, bersenam secara berjadual, atau membaca beberapa buku dalam senarai kita. Pertimbangkan tabiat baik yang muncul akibat pandemik, dan bagaimana kita dapat memupuknya!
4) 2 Korintus 7:10 – Bawa Kekesalan Anda kepada Terang
Dalam 2 Korintus 7:10 kita membaca, “'kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan.” Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian.” Adakah kita membuat tabiat yang negatif semasa pandemik (menonton TV tanpa henti, ada sesiapa? Bekerja lewat? Berkepit dengan handphone?). Atau kita mungkin mendapati diri kita merindukan suasana sunyi bekerja dari rumah, berfikir bahawa kita sepatutnya lebih menikmati suasana tersebut. Ramai antara kita juga berharap bahawa kita sepatutnya meluangkan masa yang lebih untuk berdoa atau membaca Alkitab.
Sangat penting untuk menangani kekesalan—merenungkannya, berfikir tentangnya, merasanya, dan membawa itu kepada Tuhan. Kita boleh mencuba untuk menyenaraikan perkara buruk yang terlintas di fikiran, memberitahu Tuhan setiap perkara tersebut, kemudian membuangnya. Ketika kita merenung dan menyatakan kekesalan kita tentang sesuatu yang telah kita lakukan atau tidak diselesaikan, kita boleh mencari pengampunan yang dapat membantu kita terus maju.
5) 1 Yohanes 4:18 – Menangani Kebimbangan dengan Hikmah Tuhan
“…kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut…” (1 Yohanes 4:18), dan kita semua sangat dikasihi oleh Tuhan. Kita tidak dipanggil untuk hidup dalam ketakutan, tetapi percaya kepada Tuhan. Dari sudut ini dan seterusnya, dunia mungkin takut akan khabar angin mengenai penyakit. Penjarakan sosial boleh menjadi perkataan yang tetap dalam kamus kita, dan kejadian seperti meremehkan orang yang tidak memakai topeng hidung dan mulut mungkin terus berlaku. Tiada keraguan bahawa kita dipanggil untuk menjadi bijak (Efesus 5:15), tetapi Alkitab juga penuh dengan perintah agar kita tidak takut (Yesaya 41:10).
Bagaimana kita dapat melakukan kedua-duanya? Mungkin kita boleh menulis perkara yang paling kita takuti tentang “norma baru.” Kemudian, memohon pertolongan Tuhan untuk menangani kebimbangan-kebimbangan ini dengan hikmah Tuhan.
Bagaimanapun, tiada sesiapa antara kita tahu caranya untuk “kembali kepada normal” ketika tiada apa-apa yang normal untuk kita kembali. Sekurang-kurangnya kita mempunyai lima prinsip ini untuk bersandar sementara kita melihat dan menanti sesuatu yang akan datang.
Artikel ini adalah terbitan asal YMI https://ymi.today/2020/05/5-verses-to-help-you-navigate-a-new-normal/, sebuah pelayanan muda mudi dari Our Daily Bread Ministries dalam bahasa Inggeris. Diterjemah dan diterbitkan dengan kebenaran.
Penulis: Zach S
Tentang penulis Zachariah suka menggunakan kurnia artistiknya untuk memuliakan Tuhan, dan sudah 1 tahun lebih menyumbang kepada YMI (dia tidak merancang untuk berhenti menyumbang!). Dia suka berlari jarak jauh kerana ia dapat menenangkan fikirannya, dan menganggap dirinya sebagai penyanyi/rapper profesional di kamar mandi. Zach berasal dari Michigan Tenggara, Amerika.