5 Cara untuk Membantu Orang yang Berputus Asa



Malaysia kini berada di gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan menunjukkan angka kes yang membimbangkan. Tidak dinafikan bahawa Covid-19 telah menyebabkan seseorang mengalami ketakutan dan kebimbangan yang melampau sehingga menyebabkan ada yang berputus asa.



Di sesetengah tempat di Malaysia, orang melarikan diri dan bersembunyi di hutan kerana mungkin takut menjalani pemeriksaan atau takut disahkan positif Covid-19. Atau atas sebab lain. Kita juga mendengar berita mengenai seorang pesakit Covid-19 telah terjun dari bangunan hospital tanpa mengetahui bahawa dia sebenarnya sudah bebas daripada Covid-19. Ada juga yang dipulaukan dan diperlakukan seperti “penjenayah” hanya kerana mereka positif Covid-19.



Sepanjang sejarah manusia, umat Tuhan bergelut dengan masalah emosi dan mental. Ada beberapa tanda dan simptom tentang orang yang berputus asa, misalnya berasa tiada lagi harapan, tidak berguna dan tidak berdaya. Dalam Alkitab, Ayub menunjukkan rasa kecewa, patah semangat, kesedihan yang sangat mendalam sehingga dia berkata kepada Tuhan, “Mengapakah aku tidak mati di dalam rahim ibu? Mengapakah aku tidak meninggal pada saat kelahiranku?” (Ayub 3:11). Nabi Elia juga berkata, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” (1 Raja-Raja 19:4).



Anda mungkin mempunyai ahli keluarga atau sahabat yang mengalami hal yang sama seperti Ayub dan nabi Elia—Kehilangan kekuatan, makna dan semangat untuk hidup. Apakah yang harus anda lakukan? Terdapat lima perkara yang boleh anda lakukan.





1) Hadir untuk Mereka



Tiga orang sahabat Ayub, iaitu Elifas dari kota Teman, Bildad dari negeri Suah, dan Zofar dari negeri Naamah mendengar tentang penderitaan Ayub. Kemudian mereka memutuskan untuk berkumpul dan pergi menghiburkan Ayub (Ayub 2:11).



Sebelum berlaku “salah faham” antara Ayub dan tiga kawannya, keputusan dan tujuan ketiga-tiga kawan Ayub untuk melawat dan menghiburkan Ayub adalah tindakan yang sangat baik. Mereka sangat prihatin terhadap Ayuh sehingga melakukan perjalanan yang jauh untuk pergi berjumpa dengan Ayub.



Keputusan anda untuk melawat sahabat yang terluka mungkin tidak mudah. Anda mungkin berasa bahawa lawatan anda hanya akan membuat keadaan semakin teruk atau anda tidak tahu cara untuk menghiburkan mereka. Tetapi mereka memerlukan seseorang yang dekat dan prihatin terhadap mereka. Kehadiran anda mampu menunjukkan keprihatinan anda.



Cara yang baik untuk membantu mereka yang menghadapi keputusasaan adalah berada di sisi mereka, anda tidak perlu berkata banyak dan hanya menunjukkan bahawa anda prihatin seperti kawan-kawan Ayub, mereka “duduk di atas tanah bersama-sama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam tanpa mengeluarkan sepatah kata pun kerana mereka tahu betapa beratnya penderitaan Ayub” (Ayub 2:13). Masa dan kehadiran anda sangat penting bagi mereka.





2) Mendengar



Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata…” (Yakobus 1:19).



Mendengar dengan penuh perhatian dapat membantu mereka yang mengalami kemurungan atau keputusasaan. Anda perlu mendengar dan mengizinkan mereka meluahkan perasaan dan fikiran mereka. Ini akan membantu mereka melepaskan tekanan emosi untuk sementara waktu.



Setelah mereka selesai meluahkan emosi diri, ini mungkin adalah masa yang sesuai untuk berkata sesuatu kepada mereka. Apabila anda mendengar, ini akan memberi anda peluang untuk memahami keadaan mereka (walaupun tidak sepenuhnya) agar anda dapat memberi respons yang lebih membantu.





3) Jangan Menghakimi



Fikirlah, pernahkah orang yang tidak bersalah ditimpa bencana dan celaka? Aku pernah melihat orang membajak ladang kejahatan, dan menabur benih kekejian, lalu menuai celaka dan kesusahan (Ayub 4:7-8).



Tiga kawan Ayub berkata bahawa Ayub menderita kerana dosanya. Ini bukan masanya untuk menghakimi. Walaupun apa yang dikatakan mereka adalah hasil daripada pemahaman yang terhad dan pemikiran yang tercemar malah serta kedengaran tidak masuk akal, jangan menghakimi mereka. Ini mungkin sukar dilakukan kerana kita cenderung menilai keadaan mereka. Orang yang menderita sudah berasa hancur secara dalaman, kita tidak perlu menambah lagi kehancuran mereka.



Orang yang berputus asa memerlukan kasih, penghiburan dan dorongan, bukan penghakiman kita. Izinkan mereka berasa didengar dan difahami tanpa berasa dihakimi. Ini merupakan cara yang terbaik untuk membolehkan mereka berasa dikasihi dan diterima. Bagaimanapun, anda boleh membantu untuk mengubah perspektif dan pemikiran mereka tetapi dengan lembut dan secara perlahan-lahan.





4) Memberi Sokongan



Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini (1 Tesalonika 5:11).



Orang yang berputus asa selalunya sangat terdesak untuk melihat bahawa masih ada harapan bagi mereka, mereka masih diperlukan dan berguna. Anda perlu sentiasa memberi mereka dorongan, sokongan dan kata-kata yang dapat membina mereka.



Kadang-kadang orang yang mengalami kemurungan tidak sedar bahawa mereka sedang berdepan dengan “penyakit” ini. Kadang-kadang mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan dan bagaimana mencari pertolongan. Mungkin inilah saatnya anda bertindak seperti menggalak dan menguatkan mereka untuk mencari pertolongan secara perubatan, terapi dan kaunseling.





5) Meyakinkan Mereka tentang Harapan



Aku memohon agar Allah menjadikan fikiran kamu terbuka untuk memahami ajaran-Nya. Dengan demikian kamu mengetahui apa yang dapat kamu harapkan daripada Allah yang memanggil kamu. Betapa indah dan berlimpah-limpahnya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya (Efesus 1:18).



Ketika Ayub mengalami keputusasaan, dia bukan ingin mendengar bebelan dan penilaian kawan-kawannya, hatinya menginginkan harapan dan alasan untuk terus hidup, “Apa kekuatanku untuk terus hidup? Mengapa terus hidup jika aku tidak mempunyai harapan?” (Ayub 6:11). Orang yang mengalami keputusasaan berasa hidupnya tiada lagi harapan. Bantu mereka melihat bahawa masih ada harapan. Yakinkan mereka bahawa anda sentiasa ada untuk mereka. Bantuan terbaik yang kita dapat berikan adalah membawa mereka ke dalam tangan Tuhan yang memberi harapan, dan jangan lupa berdoa untuk mereka agar mereka dapat melihat harapan itu kembali seperti yang tertulis dalam Efesus 1:17-19.



Situasi dan tahap keputusasaan yang kita alami mungkin tidak sama, tetapi jalan keluarnya tetap sama: Harapan yang disediakan oleh Yesus. Kita tidak sepatutnya takut untuk mencari pertolongan secara rohani dan perubatan. Apa pun penyebab kepada keputusasaan kita, Iblis sentiasa ingin mengalahkan kita dengan memerangkap kita dalam keadaan yang berputus asa. Oleh itu, kita perlu melihat bahawa pertolongan utama kita hanya boleh ditemui dalam Yesus—Penyelamat yang berjanji akan memberi “hidup yang kelimpahan” (Yohanes 10:10) kepada semua orang yang percaya kepada-Nya.



Jika anda mengetahui seseorang yang sedang berputus asa, berdoalah dan hulurkan tangan anda untuk mereka. Jika anda yang sedang berputus asa, ketahuilah bahawa Yesus sangat mengasihi anda. Beranikan diri untuk menghubungi pastor atau seseorang untuk membantu anda.






Penulis: Clarensia Rongkos

Tentang penulis Clarensia Rongkos melayani sebagai kakitangan sepenuh masa di Our Daily Bread Ministries (ODBM) sejak tahun 2019. Dia berasal dari Kota Belud, Sabah dan kini membantu dalam pelayanan bahasa Malaysia di ODBM.

 
Membaca Selanjutnya