6 Cara Prihatin Kepada Malaysia
Kita masih dalam tema Malaysia Prihatin sempena Hari Malaysia yang ke-58 pada tahun ini. Selari dengan tema ini, mari kita terus menunjukkan keprihatinan kita antara sesama dan untuk negara kita dalam menghadapi pelbagai cabaran. Tema ini menjadi satu peringatan bagi semua rakyat Malaysia dan khususnya kepada orang Kristian untuk terus menyayangi tanah air kita seperti yang dikehendaki Tuhan. Terdapat 6 cara kita dapat menunjukkan keprihatinan kepada negara kita.
1. Merayakan Perbezaan Kita
Malaysia adalah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan bahasa. Kepelbagaian ini adalah salah satu kekuatan dan keunikan kita. Galatia 3:28 berkata, “Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus.” Dalam konteks ini, Paulus berkata tentang pemberian hidup kekal dalam Yesus Kristus yang tersedia bagi semua orang yang beriman kepada-Nya. Walaupun rakyat Malaysia bukan terdiri daripada satu iman yang sama dan memiliki perjalanan hidup yang berbeza, kita tetap berkongsi warisan dan identiti sebagai rakyat Malaysia yang sama. Oleh itu, mari menghargai dan merayakan perbezaan ini, bukan saling mendiskriminasi.
2. Mengasihi Sesama
Mengasihi sesama adalah prinsip asas bagi kehidupan Kristian dan salah satu perintah terbesar Yesus – mengasihi Tuhan dan sesama. Filipi 2:4 berkata “Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri.” Kita dapat melakukan ini dengan membantu orang lain, membelikan makanan kepada pekerja di pejabat kita atau menumpangkan kereta kepada seseorang ke rumahnya. Terdapat banyak keperluan di sekeliling kita, terutamanya dalam keadaan kita sekarang yang masih dilanda Covid-19. Saya mengenali seseorang yang sangat prihatin kepada orang yang benar-benar memerlukan pertolongan tanpa mengira kepercayaan dan agama.
3. Menghormati Pemerintah
Ada antara kita yang sangat sukar untuk menghormati pemerintah atas sebab-sebab tertentu. Dalam Alkitab, surat Paulus dan Petrus ditulis semasa penganiayaan Kristian di bawah kuasa Kaisar. “Setiap orang harus taat kepada pemerintah” (Roma 13:1) dan “takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar” (1 Petrus 2:17). Jika Tuhan memerintahkan kita untuk melakukannya, maka percayalah kepada-Nya walaupun kita menghadapi realiti yang agak sukar kerana menghormati pemerintah adalah memuliakan Tuhan.
4. Menjaga Kesejahteraan Malaysia
Menjaga kesejahteraan Malaysia bermaksud menjaga kebajikan Malaysia. Terjemahan lain bagi Yeremia 29:7 adalah untuk mengejar kesejahteraan, bekerja untuk kebaikannya, atau bekerja keras untuk menjadikan negara sejahtera. Di sini, nabi Yeremia sebagai jurucakap Tuhan memberitahu orang Yahudi yang dibuang ke Babilonia untuk bekerja dan berdoa bagi tempat itu kerana mereka akan tinggal lama di sana – “kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.” Bagi kita, ini bermaksud kita menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik selagi kita menduduki Malaysia sebagai warganegaranya. Kita dapat melakukan ini melalui pekerjaan kita atau melalui pelbagai kerja amal – sambil menetapkan pandangan mata kita kepada kewarganegaraan kita di syurga.
5. Berdoa Bagi Negara Kita
Berdoa bagi negara dan pemimpin kita adalah cara yang terbaik untuk melihat rancangan dan tujuan Tuhan terjadi bagi negara kita. 1 Timotius 2:1-3 berkata bahawa kita harus menaikkan kesyukuran dan doa kepada raja-raja dan pemerintah negara kita. Setiap tahun pada bulan Ogos atau September, Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) dan Persekutuan Kristian Evangelikal Nasional (NECF) akan mengeluarkan senarai bahan doa bagi negara. Kami di Our Daily Bread Ministries juga ingin mengajak anda untuk menyertai kami berdoa bersama-sama selama 5 hari (12-16 September 2021), pada pukul 8 malam di Facebook kami (ini bukan siaran langsung).
6. Mengisytiharkan Berita Baik
Sebagai pengikut Kristus, kita dipanggil untuk menjadi saksi-Nya melalui tindakan dan perkataan. Rasul Paulus mengingatkan pembacanya bahawa dia tidak malu membawa Berita Baik kerana “Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus … ” (Roma 1:16). Di mana sahaja ada peluang, mari kita memberitakan kasih dan rahmat Tuhan kepada semua orang yang akan mendengar. “ …Sebagaimana lautan penuh dengan air, demikianlah bumi pun akan penuh dengan orang yang mengenal TUHAN dan kuasa-Nya” (Habakuk 2:14).
Selamat Hari Malaysia
Tentang penulis
Artikel ini adalah terbitan asal Our Daily Bread Ministries bahasa Inggeris https://ourdailybread.org/6-ways-to-care-for-malaysia/. Diterjemah dan diterbitkan dengan kebenaran.