Sepanjang kehidupannya sebagai seorang misionari, James mendapati bahawa perjalanan iman boleh ditandakan dengan langkah demi langkah yang kecil dan praktis, bukan seperti misionari-misionari lain yang lebih “terkenal” telah mengalami perkara yang sungguh luar biasa. Langkah pertama yang diambilnya selepas tiba di Pulau Pinang pada bulan September adalah menjalankan tugasnya sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Methodist, Pulau Pinang. Ini merupakan pekerjaan yang penuh bermakna, dia membimbing dan mengajar pelajar-pelajar muda untuk berjalan mengikut kehendak Tuhan sementara melengkapi mereka dengan pengetahuan dan kemahiran supaya mereka mencapai kejayaan dalam kehidupan pada masa kelak. James menjangkakan dia akan meneruskan kehidupan sebegini sepanjang hayatnya.

Walau bagaimanapun, perjalanan ke Singapura, bahagian Selatan Tanah Melayu untuk menghadiri satu konferensi Methodist mengubah fikirannya. Salah seorang pengkhutbah, Biskop Frank J. Warne berkongsi pengalamannya yang menarik minat para pendengar, iaitu kisah dia terjumpa dengan sekumpulan penghijrah Cina yang pergi ke Sarawak di Pulau Borneo. Pada masa itu, pemerintah Sarawak yang berbangsa Eropah, “Raja Putih” Charles Johnson Brooke sedang mencari tanah jajahan baru. Melalui pengaturan beberapa pemimpin tempatan, beratus-ratus petani Cina dari wilayah Foochow (Fujian pada hari ini) telah berpindah ke sana. Perkara yang menarik ialah, kebanyakan penghijrah ini menjadi Kristian kerana usaha misionari pada zaman yang lebih awal, mereka juga ialah ahli-ahli Gereja Episkopal Methodist. Kebanyakan penghijrah melihat ini sebagai satu kesempatan untuk melarikan diri daripada Perang Saudara di negara China dan kemarau di kampung halaman mereka. Sementara itu, Gereja Methodist mengambil peluang ini untuk menyebarkan Injil ke benua ini.

Biskop Warne terus menegaskan keperluan yang paling mendesak sekarang: tiada pastor atau guru di Sarawak boleh membimbing dan meneguhkan kepercayaan golongan Cina yang baru berhijrah ini, dan memastikan mereka tidak kembali kepada kepercayaan dan amalan berhala. “Saya memohon dalam nama Tuhan,” mintanya, “Semoga salah seorang daripada anda dipilih menjadi misionari bagi orang Cina di Sarawak—semoga Tuhan membantunya, kerana tugas yang akan dihadapinya di negara yang dikelilingi hutan itu adalah susah dan mungkin bahaya.”

Selepas mendengarnya, James merasakan semangat penggembaraan yang berbara buat kali pertama. Sarawak? Bukankah tempat itu didiami oleh suku Dayak yang mengerikan dan memburu kepala, serta terus bertempur antara satu sama lain? Ini kelihatan sangat menakutkan—tetapi menarik. James tertanya-tanya jika dia akan dipilih untuk tugas yang mencabar ini, walaupun dia tahu bahawa dia tidak layak untuk mengesyorkan dirinya. Dia masih tidak memahami budaya Asia, belum menguasai pengetahuan asas tentang bahasa Cina dan bahasa Malaysia, dan belum pun ditahbiskan sebagai seorang pengkhutbah. Akhirnya, jangkaannya adalah betul: seorang yang lebih tua, berpengalaman dan berkelayakan dipilih untuk memegang jawatan ini.

Namun, James terus memegang harapan bahawa dia juga akan diberikan peluang seperti itu pada suatu hari nanti. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, dia pulang ke Pulau Pinang dan terus melayani pelajar-pelajar lelaki di situ dari segi pendidikan, sosial dan rohani dengan bersungguh-sungguh. Apabila ada masa lapang, dia akan membaca dan memahami sedikit banyak tentang Sarawak, tempat yang misteri ini. Penggambaran tentang hutan yang menghijau dan lanun-lanun Dayak, serta kisah seorang warganegara British (yakni “Raja Putih”) datang memerintah kawasan itu menjadikan seluruh pembacaannya mempesonakan.

Selepas setahun yang sibuk berlalu, James kembali ke Singapura untuk konferensi tahunan. Dr. B. F. West, orang yang diutus ke Sarawak melaporkan diri dan memberitahu bahawa kerja itu sangat mencabarnya secara fizikal dan dia menginginkan seseorang untuk menggantikan kerjanya. “Borneo,” nyatakannya, “memerlukan seseorang yang merindukan pelayanan sepanjang hayat.”

Hati James berdebar-debar. Adakah dia dipanggil untuk pelayanan ini? Atau, adakah dia akan kembali ke Pulau Pinang sekali lagi? James yang berumur 29 tahun pada masa itu tidak perlu berasa bimbang kerana namanya dicalonkan dan diluluskan dengan segera. Sebelum konferensi itu tamat, diumumkan bahawa misionari seterusnya yang akan pergi ke Sungai Rajang, Sarawak ialah James Matthew Hoover. Perjalanan panjang dari Pennsylvania, Amerika ke Sarawak, Malaya pun bermula dengan langkah yang kecil dan perlahan ini.

Persediaan ini dibuat dengan cepat, James menaiki sebuah kapal dan menuju ke hujung Timur tidak lama kemudian. Tidak seperti perjalanan dari Amerika pada tahun 1899, perjalanan ini pada Februari 1903 ini lebih pendek, dan kapal ini tiba di Kuching, ibu kota Sarawak tidak lama kemudian. James mendongak ke langit dan melihat sinar matahari melalui kabut yang menyelubungi bandar itu. “Walaupun kami dikelilingi oleh keindahan seperti di syurga,” dia teringat ini kemudian, “kami melihat muara sungai yang kami tuju. Saya akan menjalankan tugas baru saya dengan janji Tuhan yang memancarkan cahaya-Nya dari langit.” Pada masa itulah dia berkata dan yakin bahawa, “Saya orang yang dipilih oleh Tuhan untuk menyertai rancangan Tuhan di dunia ini”.

Halaman Sebelumnya: Panggilan dari Pedalaman
Halaman Selanjutnya: Perintis bagi Misi di Sibu

Kembali ke halaman utama