Apakah yang anda boleh lakukan apabila seseorang mencabar iman anda?

 

Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki (1 Petrus 3:15).

 

Iman kita dalam Kristus kadangkala dicabar melalui beberapa cara oleh pihak-pihak tertentu. Sama ada ia dari pihak sekular atau kepercayaan yang berbeza, soalan-soalan yang mereka kemukakan mampu mencabar kita. Dalam pengalaman saya sebagai pastor dan pensyarah seminari, ini bukanlah sesuatu yang baru bagi gereja. Walau bagaimanapun, akses yang mudah terhadap pelbagai dasar media maya memperlihatkan peningkatan kes-kes yang mencabar iman kita. Oleh itu, gereja secara amnya dan Kristian khususnya sedang bergelut untuk menghadapi soalan-soalan yang mencabar kepercayaan asas gereja.

 

Apakah persoalan yang sering dibangkitkan untuk mencabar iman Kristian?

 

Dalam sejarah, soalan-soalan yang sering ditanya tentang iman Kristian adalah: Kebangkitan Kristus, Yesus adalah satu-satunya Penyelamat, Yesus sebagai Tuhan dan manusia, Tritunggal, Alkitab sebagai firman Tuhan, Perjamuan Kudus sebagai tubuh dan darah Kristus. Kita perlu faham bahawa terdapat elemen misteri dalam kebenaran Alkitab ini, yang hanya dapat didedahkan oleh Roh Kudus.

 

Apapun jenis soalan yang ditanya kepada kita, ada beberapa respons atau tindakan yang harus kita lakukan.

 

Sentiasa bersedia untuk memberi jawapan. Dalam ayat Alkitab tersebut, Petrus mengingatkan kita bahawa kita perlu sentiasa bersedia dan menjangka soalan-soalan yang mencabar. Oleh itu, kita perlu mempunyai pemahaman yang jelas tentang siapa Yesus dan mengekalkan hubungan yang intim dengan-Nya; Petrus menyebut perkara ini sebagai pengudusan Tuhan dalam hati kita. Kejelasan dan keyakinan seperti ini datang melalui iman dan firman Tuhan yang teguh tertanam dalam diri kita. Gereja dan orang percaya perlu mengambil serius tentang pemuridan. Seperti yang sering dikatakan Paulus dalam surat-suratnya “siapa kita dan apa yang kita buat” mempunyai kaitan yang sangat kuat. Mari kita dipenuhi dengan pengetahuan dan harapan yang kita ada dalam Yesus Kristus.

 

Gereja dan orang percaya perlu mengambil serius tentang pemuridan

Bersaksi tentang harapan yang ada dalam kita. Sebagai umat Tuhan, kita dipanggil untuk menjadi saksi. Oleh itu, apabila kita berhadapan dengan soalan-soalan yang dibangkitkan oleh individu-individu yang ingin mengetahui kepercayaan kita, itu adalah tugas utama kita untuk menjawab dengan sejelas-jelasnya tentang apa yang diajar oleh Alkitab serta penerapannya. Sama ada jawapan yang kita sediakan diterima atau diperdebatkan oleh pendengar, ia adalah di luar kawalan kita. Oleh itu, sekiranya penjelasan kita yang berdasarkan Alkitab ditolak, kita tidak perlu berasa malu dan kecil hati. Kita menyerahkan hasilnya kepada Tuhan.

 

Kita menyerahkan hasilnya kepada Tuhan

Dengan lemah lembut, hormat, dan dapatkan bimbingan Roh Kudus. Petrus mempunyai beberapa nasihat berkenaan dengan sikap kita apabila kita disoal. Apapun objektif si penanya, kita harus menjawab dengan lemah lembut dan saling menghormati kerana kemarahan dan keagresifan manusia tidak sesuai dengan tujuan Tuhan. Kita perlu menyampaikan kebenaran dengan kasih dan membiarkan Roh Tuhan menuntun kita.

 

Jika kita melihat sejarah, kritikan terhadap Yesus sebagai Penyelamat, Alkitab dan kepercayaan gereja sudah menjadi kebiasaan. Sebagai Kristian, Alkitab sudah mengingatkan kita untuk sentiasa bersedia menghadapi soalan-soalan seperti ini. Tugas kita adalah mudah; jelaskan sebab harapan yang kita ada dalam Kristus. Jika mereka menerima penjelasan kita, kita memberkati mereka; jika mereka menolak, kita berdoa bagi mereka dan beredar dengan damai. “Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus” (Filipi 4:7).

 

Jelaskan sebab harapan yang kita ada dalam Kristus

Doa: Bapa kami yang di syurga, kami bersyukur kerana memanggil kami untuk menjadi anak-anak-Mu dan saksi. Apabila kami berhadapan dengan soalan-soalan yang mencabar iman kami, beri kami kekuatan melalui Roh-Mu agar kami dapat memberi jawapan yang sesuai dan benar kepada mereka; agar mereka juga akan mengetahui kebenaran. Dalam nama Tuhan dan Penyelamat kami, Yesus Kristus, kami berdoa. Amin.

 


Tentang Penulis
Dr. Wilfred J Samuel pernah menjadi pastor di Gereja Lutheran. Kini dia melayani sebagai pengarah Pusat Pengajian Lutheran dan pensyarah di Seminari Teologi Sabah. Dia mempunyai kepakaran mengajar tentang Doktrin Kristian, Teologi Sistematik, Etika Kristian, Teologi Asia, Kerja Sosial, Gereja dan Masyarakat, Sejarah Gereja, Pengurusan/Kepimpinan Pastoral dan Hubungan Ekumenikal.

 

 

read_more