Kasih Sejagat

Pada pendapat anda, siapakah objek bagi kasih Tuhan? Frasa yang seterusnya dalam Yohanes 3:16 telah memberikan kita jawapan—“orang di dunia ini”.

Itulah berita yang mengejutkan bagi pembaca-pembaca berbangsa Yahudi yang membaca Kitab Yohanes. Mereka menganggap diri mereka sebagai umat terpilih, malah mengharapkan kasih yang istimewa dicurahkan terhadap mereka (Ulangan 7:6-8). Bagaimanakah pula dengan bangsa lain? Orang Yahudi tentu tidak akan mendekati mereka! Namun, Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini dan ingin menyelamatkan semua manusia (Kejadian 12:3; Yesaya 65:2). Yohanes selalu menggunakan perkataan “orang di dunia ini” untuk merujuk kepada masyarakat manusia yang berdosa (Yohanes 1:10, 7:7, 14:17, 15:18-19). Yang pentingnya, Yohanes menginginkan pembaca-pembaca yang asalnya—dan kita pada hari ini—untuk memahami bahawa kasih Tuhan menjangkau bukan sahaja kepada orang Yahudi, tetapi juga bangsa-bangsa lain “daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa” (Wahyu 5:9), mahupun kepada orang berdosa.

Kasih Tuhan adalah sejagat, Dia tidak pilih kasih, kasih-Nya adalah untuk setiap individu. Oleh itu, kita boleh mengatakan kepada semua orang, “Tuhan mengasihi anda” dan menjemput mereka mengalami kasih Tuhan dengan mempercayai Dia serta berpaling daripada kejahatan mereka.

Tuhan merindui untuk menyatakan kasih agung-Nya kepada orang lain melalui kita. Adakah kita membenarkan Dia berbuat demikian? Kita boleh bermula dari kawasan yang Dia menempatkan kita—sekolah, tempat bekerja, dan kawasan perumahan kita.

 

Kembali ke laman web Kasih Tuhan Untuk Sedunia.