Kasih Yang Membawa Tindakan
Seorang perempuan bertanya kepada seorang lelaki, “Adakah anda mengasihi saya?” Lelaki yang amat tertawan itu menjawab, “Ya, sayang, saya mengasihi anda.” Perempuan itu bertanya seterusnya, “Sudikah anda mati untuk saya?” Lelaki pun menjawab, “Tidak … kasih aku kekal hidup.” Cerita yang lucu ini menggambarkan dua isu yang menyedihkan: Kasih dengan berkata-kata bukan kasih sebenar, dan penyataan kasih yang paling besar ialah pengorbanan diri. Kita bersyukur kepada kasih Tuhan yang melampaui perkataan; kasih-Nya menggerakkan Dia mengambil tindakan—“Dia Memberikan”.
Yohanes 3:17 membantu kita lebih memahami maksud frasa ini dengan menggunakan perkataan mengutus. “Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.” Tuhan bukan sahaja memberikan kita yang terbaik—Anak-Nya—tetapi Dia juga mengutus Anak-Nya datang ke dunia ini untuk satu misi. Yesus Kristus datang ke dunia dan mati supaya kita dapat hidup. Oh betapa dalamnya kasih Tuhan Bapa kepada kita, sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal untuk menggantikan kita dan mati pada kayu salib!
Bagaimanakah kita membalas kasih ini? Sebagai umat yang telah ditebus, mari kita dengan hati yang bersyukur, sekali lagi bertekad untuk “hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga” (Kolose 1:10).
Kembali ke laman web Kasih Tuhan Untuk Sedunia.