Keuntungan Memberi

Keuntungan Memberi

Bacaan Alkitab: Amsal 11:24-25
Orang yang murah hati akan menjadi makmur. Orang yang suka menolong akan ditolong juga. (Amsal 11:25)

Pembayaran sewa rumah sudah terlambat, tetapi penyewa tidak mampu membayar. Si suami telah kehilangan pekerjaan dan isterinya tidak dapat mencari pekerjaan lain. Kemudian pandemik COVID-19 menyerang menyebabkan kawasan mereka diarahkan berkurung di rumah. Oleh itu, semua orang termasuk tuan rumah menghadapi krisis kewangan. Tetapi tiada seorang pun boleh keluar untuk bekerja.

Namun setelah berdoa, tuan rumah telah membatalkan sewa rumah mereka. Dia berkata “memang, saya ada bil untuk dibayar juga. Tetapi saya tidak ingin melihat penyewa saya jatuh sakit akibat berusaha keluar rumah untuk bekerja demi membayar saya.” Tuan rumah bersyukur kepada Tuhan kerana pembekalan-Nya terhadap keluarganya, dia juga telah memperlihatkan kasih dalam tindakan kepada penyewanya.

Hasilnya? “Damai dan sukacita,” kata tuan rumah. “Membantu penyewa saya memberikan saya kepuasan yang besar. Lagi pula, iman saya dalam Tuhan telah bertumbuh,” katanya. “Pembayaran bil pada tahun ini, saya tidak lagi risau. Tuhan akan sediakan.”

Alkitab menjanjikan iman yang menyegarkan kepada mereka yang suka memberi, berbelas kasihan untuk menolong orang lain. “Ada orang yang suka memberi tetapi masih bertambah kaya,” kata Amsal 11:24. Lawannya? “Ada orang yang kedekut, tetapi bertambah miskin pula.” Pengajaran ini bertentangan dengan logik. Namun membantu orang lain selalu memberi manfaat kepada si pemberi.

“Orang yang suka menolong akan ditolong juga.” (ayat 25). Prinsip Alkitab yang sederhana. Tetapi apabila kita membantu mereka yang memerlukan pertolongan, seperti tuan rumah itu, kita mendapati bahawa Tuhan menyediakan iman dan keperluan yang kita benar-benar perlukan. – Patricia Raybon

Siapakah dalam hidup anda yang memerlukan pertolongan praktikal dan kasih anda? Bagaimanakah iman anda bertumbuh dalam Tuhan jika anda membantu orang dengan kasih?
Tuhan yang penyayang, Engkau memiliki segalanya, oleh itu doronglah aku menggerakkan tanganku dan memberikan pertolongan praktikal kepada orang lain–berkongsi kurnia yang Engkau sediakan bagiku.

Kembali ke laman “Makanan bagi Jiwa”

1|2|3|4|5