Kita Tidak Akan Hancur

Kita Tidak Akan Hancur

Bacaan Alkitab: Mazmur 37:23-28
Jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera, kerana TUHAN memegang tangannya. (Mazmur 37:24)

Pada fasa permulaan pandemik koronavirus global yang mengerikan, Dr. Craig Smith (ketua pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Colombia) berdiri di pusat wabak Amerika Syarikat. Setiap hari, Smith akan mengirimkan nota kepada rakan-rakan hospitalnya. Dalam satu memo, setelah menghuraikan realiti mereka yang mengerikan (kes-kes mendadak, keperluan untuk ventilator dan ruang unit kecemasan), dia mengakhiri dengan gambaran yang hebat: “hutan buluh telah membongkok ke tanah oleh taufan tetapi ia tidak hancur.”

Ada masa kritikal–tragedi, kesakitan hati, penyakit, krisis kewangan, perpecahan keluarga, musibah negara–apabila kita perlu mengumpul akal kita, mengekalkan keberanian kita, dan enggan menyerah. Kita menghadapi cabaran yang mustahil, dan kita tahu bahawa kita tidak harus hancur.

Namun, kita juga tahu bahawa jika kita hanya bergantung pada kekuatan dan sumber daya kita sendiri, kita akan hancur. Jika kita mahu teguh, kita memerlukan Tuhan untuk menolong kita. Puji Tuhan, semasa kita menyerahkan masa depan kita kepada Tuhan dan menaruh harapan dalam-Nya, kita mendapati bagaimana “TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya” (Mazmur 37:23). Kita mendapati bahawa “jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera, kerana TUHAN memegang tangannya” (ayat 24).

Ketahanan kita tidak bersandarkan semangat, keberkesanan atau ketabahan kita sendiri, melainkan mengetahui bahawa Tuhan menyertai kita. Dia meneguhkan kita. Kita percaya bahawa dalam-Nya kita tidak akan hancur. – Winn Collier

Apakah penyebab anda tersandung dan mengancam anda untuk hancur? Bagaimanakah anda dapat bersandar pada Tuhan apabila anda mengalami cabaran sedemikian?
Tuhan, aku goyah. Aku tersungkur dalam badai. Tetapi aku percaya bahawa Engkau menyertaiku. Aku percaya bahawa Engkaulah segalanya yang aku miliki di tempat yang menakutkan ini.

Kembali ke laman “Makanan bagi Jiwa”

1|2|3|4|5