Senaskhah risalah diletakkan di atas meja ruang tamu hari demi hari, seolah-olah ia harus dibaca berulang kali. Biasanya, dokumen yang dihantar ke rumah Hoover di Chambersburg, Pennsylvania akan disimpan oleh ibunya pada setiap malam. Namun, atas sebab tertentu, ibunya mengambil keputusan untuk terus meletakkan risalah gereja itu di atas meja pada minggu itu awal tahun 1899.
Risalah yang bertajuk “Panggilan kepada Orang Muda Kita” dikarang oleh seorang biskop Methodist yang telah membantu menubuhkan salah sebuah gereja yang terbesar di India dan menyelia usaha-usaha misionari di Malaya (Malaysia hari ini). Risalah ini hanya mengandungi satu permintaan: 12 pemuda lelaki diperlukan untuk menyebarkan Injil di India. Ini bukan sebuah usul yang menarik sebenarnya—risalah itu ternyata bahawa pemuda-pemuda ini tidak akan diberikan upah yang tinggi. Mereka perlu mengumpulkan dana untuk pembiayaan harian sambil melayani di India, mereka juga harus melayani selama 5 tahun; menjalankan apa-apa tugas di mana-mana tempat mereka dihantar. Bagi sebarang perancangan untuk berkahwin, ini pula harus ditunda sehingga mereka menghabiskan masa pelayanan.
Risalah tersebut bukan sesebuah bacaan ringan, ia seolah-olah memanggil James, anak sulung John Hoover, seorang tukang kasut, dan isterinya Emily. Hari demi hari, guru yang berumur 26 tahun ini balik selepas kerja pada waktu petang, mengharapkan risalah itu sudah disimpan. Namun risalah itu masih terletak di sana dengan tajuknya yang menonjol—dan memanggil 12 orang lelaki yang rela hati—pada bahagian atas. “Ia memberangsangkan hati saya,” katanya kemudian.
Risalah ini membuat dia tidak bersenang hati kerana ia seolah-olah ditulis hanya untuknya. Bukankah ini sesuatu yang selalu menjadi kerinduan hatinya? Bukankah ini panggilan daripada Tuhan bagi dia?
Lebih daripada 10 tahun yang lalu, semasa dia berusia 15 tahun, James bertelut di gereja tempatannya, mengabdikan kehidupannya kepada Tuhan, dan berjanji untuk melayani sebagaimana Tuhan memimpinnya. Sejak itu, dia mencuba untuk menepati janjinya. Dia telah menyertai Pertubuhan Belia Pemuda Kristian [Young Men’s Christian Association (YMCA)], yang dia membantu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan pemuda-pemudi dan membantu mereka supaya tidak rosak akhlak. Dia telah mula melayani sebagai pengkhutbah di gerejanya dan melayani orang lain di tempat lain walaupun dia orang percaya yang biasa, serta memulakan kebaktian yang tetap bagi banduan di penjara daerah. Dia juga mula mengajar di sebuah sekolah rendah yang merangkumi pelajar-pelajar Afrika-Amerika dan orang putih—sekolah bercampur kaum yang jarang wujud pada ketika itu.
Sekarang, kelihatannya Tuhan telah melengkapi James untuk misi luar negara selama ini. Seberapa tahun ini, tanpa disedari, pemuda ini menerima latihan yang nyata dalam kehidupan benar bukan sahaja dalam mengkhutbah dan mengajar firman Tuhan, malahan juga menganjurkan aktiviti-aktiviti dan memahami tradisi dan budaya asing. Namun ini bukan panggilan yang dramatik bagi dia untuk melibatkan dalam pelayanan. Tiada suara yang bergema dalam otak James, tiada ayat yang terkeluar daripada Alkitab, tiada orang yang tidak dikenalinya bernubuat tentang pelayanannya. Sebaliknya hanya kepercayaannya kepada Tuhan menjadi semakin hangat dalam hatinya, iaitu dia wajib mematuhi perintah Yesus, “Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku”—perintah dalam Matius 28:19 yang biasa didengar dan tidak dapat dilupakan.
Tetapi James, orang yang hidup teratur dan berhati-hati tidak mendaftarkan dirinya secara terburu-buru. Sebaliknya, dia mula berdoa tentang perkara ini dan meminta nasihat daripada beberapa orang. Orang pertama yang ditanyakannya ialah pengkhutbahnya di sekolah. Pengkhutbah itu menjawab dengan segera, “Kami berasa keberatan untuk melihat anda meninggalkan sini—namun ini adalah keputusan yang amat baik. ”
James tidak yakin dengan nasihat ini sepenuh hati. Selepas itu, dia berfikir, tiada pengkhutbah yang tidak akan menggesa orang melibatkan diri dalam misi. Oleh itu, dia mencari penyelia program Sekolah Minggu, mempercayai bahawa dia akan memberikan pandangan orang biasa. Apa yang mengejutkannya ialah lelaki tua itu mengangguk-angguk kepala dan mengatakan, “Orang muda, masa saya berumur seperti anda, saya juga ada satu panggilan untuk mengkhutbahkan Injil, tetapi saya tidak menjawabnya. Kehidupan saya adalah satu kegagalan. Jadi, nasihat saya ialah, ‘Pergilah’.”
Dengan kata-kata ini yang masih bergema dalam telinga, James pergi berjumpa dengan orang ketiga, iaitu seorang guru dari sekolah yang sama. Guru ini memandang matanya dan berkata, “Orang muda, saya dipanggil untuk menjadi seorang misionari bagi orang India di Barat pada waktu muda, tetapi saya enggan. Kehidupan saya sering berada dalam pergelutan sejak itu.
Dengan memandang ke arah yang jauh dan wajah yang hiba, seterusnya dia berkata, “Saya mempercayai bahawa panggilan Tuhan itu ialah peluang saya dalam hayat ini, tetapi saya melepaskannya. Jangan ikut jejak saya.”
James telah mendengarkan banyak nasihat. Sekiranya dia bertanyakan Tuhan untuk satu tanda yang jelas selama ini, nasihat itu adalah jawapan baginya. Tiga orang yang berbeza telah memberikannya satu jawapan yang tetap sama. Dia sudah tahu bagaimana menjawab Tuhan. Ini bukan satu keputusan yang dibuat dengan terburu-buru atau mengikut gerak hati. Dia agak rajin dan mengambil masa untuk mangadakan masa renungan bersama Tuhan, berfikir tentang keputusan itu dan bercakap dengan beberapa orang yang berhikmah. James amat yakin bahawa Tuhan memanggil dia menyertai misi ke luar negara. Sekarang, dia hanya perlu menjawab panggilan ini.
Pada 13 Mac 1899, dia menulis sepucuk surat yang akan mengemudikan arah kehidupannya kepada Lembaga Misi Luar Negara (Board of Foreign Missions). Pada permulaan suratnya dia menulis, “Saya telah membuat keputusan untuk menjawab panggilan ini,” dan terus menegaskan bahawa dia tidak berpendidikan tinggi, dia hanya pernah menjawat sebagai seorang pengkhutbah, pengajar dan menganjurkan pelbagai aktiviti. Memandangkan pekerjaannya akan memerlukan banyak tuntutan dari segi fizikal dan kerohanian, dia meneruskan, “Kesihatan saya adalah baik … saya orang yang agak bertabah. Semasa sekolah ditutup untuk cuti musim panas, saya berjalan kaki sepanjang 800 km selama 18 hari. Saya berjalan kaki sepanjang 70 km sehari.”
Selepas menunggu untuk beberapa bulan, James tidak mendapat balasan daripada lembaga itu. Kemudian pada bulan Jun, dia menerima balasan yang menjemput dia berjumpa dan bercakap dengan pengarang risalah itu, Biskop J. M. Thoburn dan ahli-ahli lembaga yang lain di Bandar Raya New York. Tidak lama kemudian, mereka memberitahu James, “Kami mengalu-alukan penyertaan anda! Bilakah anda boleh memulakan pelayanan ini?” Jawapan James adalah segera dan terus: “Bila-bila masa.”
Bagaimanapun, selepas itu, lembaga menerangkan bahawa Pulau Pinang di Malaya mempunyai keperluan yang lebih mendesak jika dibandingkan India, yakni guru dan misionari.
Pulau Pinang? Malaya? James sama sekali tidak tahu tentang tempat itu! Bagi orang Amerika dari bandar kecil, Asia nampaknya satu dunia yang lain. Kebanyakan rakannya pun berkemungkinan besar tidak pernah kedengaran akan Malaya. Namun sekiranya ini ialah kehendak Tuhan, James akan mematuhi Tuhan seperti yang dijanjikan. Bukankah Roh Kudus telah memberikan kuasa kepada semua orang percaya untuk bersaksi bagi Yesus sampai ke hujung bumi? James yakin sepenuhnya bahawa Roh Kudus akan menyertainya, mahupun sehingga ke hujung Timur di dunia ini. Betapa baiknya keistimewaan ini baginya untuk menjadi pemberita Injil yang disebutkan oleh Tuhan dalam Kisah Rasul-Rasul 1:8!
Walau bagaimanapun, usaha menerangkan keputusannya kepada keluarga dan rakan-rakannya menjadi sesuatu yang lagi susah. Ramai orang memuji komitmennya dalam pekerjaan Tuhan di gereja tempatan, sekolah dan YMCA. Namun, mereka kelihatan tidak menyokong keputusan untuk meninggalkan “Yerusalem” mereka untuk menyebarkan Injil. “Anda harus berfikir baik-baik, James,” kata beberapa orang apabila membandingkan masa depan yang cerah di Amerika dengan apa yang mungkin akan dihadapinya di Asia Timur. Yang lain pula menyokong keputusannya, tetapi menyatakan kesedihan yang mendalam kerana mereka tidak dapat melihatnya lagi pada masa depan. Mereka tahu ramai misionari yang dikenal mereka tidak dapat pulang kerana harus menjadi saksi Tuhan di tempat yang sangat jauh, ada yang meninggal dunia akibat menghidapi penyakit-penyakit di kawasan tropika. Sementara itu, perkara yang biasa berlaku ialah misionari akan meninggal dunia dalam dua atau tiga tahun setelah tiba di kawasan baru.
Perkara yang paling susah adalah mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya yang berperanan sebagai sokongan dan inspirasi yang besar dalam kehidupan iman James. James merancang untuk bertolak selepas satu bulan. Hari demi hari berlalu, setiap makan malam sekeluarga menjadi semakin penuh dengan emosi. Semasa salah satu makan malam yang terakhir, ibu James tidak dapat menahan diri lagi, malah harus berhenti makan beberapa kali dan menangis. Pada 29 Julai 1899, James meninggalkan New York dan belayar ke Pulau Pinang.
Halaman selanjutnya: Dari Pulau Pinang ke Sibu