Di Sungai Rajang, James menghadapi cabaran yang sungguh besar dalam menggembala satu komuniti yang belum matang dan menetap di kawasan lapang dalam hutan kecil yang berdekatan pekan Sibu. Disebabkan oleh kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam, penghuni mengalami kesusahan apabila mereka mencuba untuk menanam sawah padi sebagai nafkah hidup sementara menjauhkan diri daripada penyakit-penyakit tropika. Ketegangan juga semakin meningkat antara petani Cina dan orang tempatan berbangsa Dayak yang membenci pemasukan petani Cina.

Sementara itu, James masih bergelut untuk berkomunikasi dengan jemaah yang digembalanya. Dia dapat menguasai sedikit bahasa Malaysia dan memahami beberapa perkataan Cina dalam dialek Hokkien semasa di Pulau Pinang, tetapi sekarang dia perlu mempelajari dialek Foochow. Dia juga perlu menangani kerinduan terhadap kampung halaman dan kesunyian, walaupun kesemua ini telah banyak berkurang apabila dia berkahwin dengan Mary Young pada tahun 1904.

Namun, dia masih melibatkan diri sepenuh hati dalam kerjanya, mengajar Alkitab kepada penghijrah di situ, mendorong keluarga-keluarga terus menjadi tabah dalam perjalanan iman mereka, melatih lelaki yang lebih muda untuk melayani sebagai pengkhutbah. James and Mary digerakkan oleh keyakinan bahawa kerja misionari bukan sahaja merangkumi pengajaran rohaniah, maka mereka menggunakan masa untuk memenuhi keperluan penghijrah-penghijrah ini yang praktikal. Mereka tahu bahawa selain menggalakkan orang dalam perjalanan iman, kehidupan mereka juga harus dipertingkatkan dari segi sosial dan ekonomi. Mereka membantu orang kampung menubuhkan sekolah untuk lelaki dan perempuan, membina rumah dan jalan raya, memikirkan cara untuk meningkatkan hasil tanaman mereka.

Pada hakikatnya, sepanjang pelayanannya yang lebih daripada 30 tahun di Sungai Rajang, James sudah dikenali sebagai seorang perintis dan pastor. Dia menjadi orang pertama yang memperkenalkan banyak teknik baru dalam bidang pengangkutan, pertanian, pendidikan dan komunikasi. Senarai panjang ini yang juga termasuklah basikal dan pelancaran mesin bermotor yang pertama telah membantu petani-petani menghantar hasil tanaman mereka; penghasilan anak benih getah dan pengupas bijian, sekolah perempuan dan sekolah pertanian yang pertama; serta mesin membuat ais yang pertama, gergaji bermotor, jentera tenaga elektrik dan mesin telegraf melalui radio. Dia pernah berkata, “Selain daripada gereja-gereja dan sekolah-sekolah yang telah saya bina, dan mengubah kehidupan orang dengan kuasa Tuhan, saya berasa amat bangga dengan bot-bot saya.”

James juga berperanan sebagai penimbang tara tempatan, orang tengah di antara orang Cina dan orang Dayak (yang memenangi penghormatan mereka kemudian), dan seorang pengantara bagi orang Cina Foochow dan pentadbir British. Pada tahun 1904, pentadbir British melantik dia sebagai “Pelindung Orang Foochow”, satu jawatan yang memberinya hak istimewa untuk berurusan dengan pihak berkuasa secara langsung, contohnya jika dia memerlukan lebih banyak tanah untuk menempatkan penghijrah. Namun, penghormatan yang terbesar baginya ialah gelaran “Hoo Sing Sang” (Cikgu Hoo) di kalangan orang Cina dan “Tuan Hoover” di kalangan orang Melayu tempatan. Mereka menunjukkan penghormatan dan kasih yang setinggi-tingginya, serta layak diterima oleh James kerana dia mempedulikan kerajaan Tuhan dan rajin menggembala dombanya.

Pada masa James meninggal dunia akibat penyakit malaria pada tahun 1935, dia dan isterinya telah menubuhkan 41 gereja dan 40 sekolah, serta lebih daripada seribu kanak-kanak dibaptis dan menerima pendidikan. Kampung kecil seramai 500 orang yang digembalanya sekarang menjadi komuniti moden yang terdiri daripada beribu-ribu orang, sekolah-sekolah terkenal, gereja-gereja yang dapat membiayai sendiri, dan berpuluh-puluh ribu ekar ladang. Kesemua ini perlu memberi penghargaan kepada keazaman James yang telah membantu orang Cina Foochow dalam pembangunan sosial dan ekonomi mereka.

Pada hari ini, terdapat lebih daripada 120 gereja Methodist di Sarawak dan Sabah yang merangkumi lebih daripada 60,000 orang percaya. Mereka menandakan warisan yang dilahirkan melalui keteguhan yang bersungguh-sungguh, ketabahan yang tenang, dan ketaatan yang setia terhadap perintah Yesus untuk bersaksi sehingga akhir zaman. Dari satu bandar kecil di Pennsylvania sehingga ke lapangan hutan yang kecil di Sarawak, James Hoover telah mengambil langkah demi langkah yang kecil dalam iman, sehingga keyakinannya terhadap panggilan Tuhan semakin berakar umbi dalam hatinya, dan menyahut panggilan Tuhan serta menyerahkan segala-galanya. Kemudian, tidak kira betapa susah keadaannya, dia terus tabah menghadapinya, malah tidak pernah menyeleweng daripada tugas yang diberikan oleh Tuhan.

Halaman Sebelumnya: Dari Pulau Pinang ke Sibu

Kembali ke halaman utama